KELEWATAN bekalan baja padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) perlu dilihat lebih serius daripada sekadar kegagalan penghantaran input pertanian.
Apabila baja gagal sampai pada waktunya, yang terjejas bukan sahaja tanaman padi di sawah.
Kesannya boleh merentasi keseluruhan rantaian pengeluaran daripada tumbesaran tanaman, produktiviti, pendapatan pesawah, bekalan padi kepada kilang sehinggalah kepada ketersediaan beras untuk pengguna.
Dalam konteks sebuah negara yang masih berusaha memperkukuh tahap sara diri beras, sebarang gangguan input di kawasan jelapang utama adalah isu keterjaminan makanan negara.
MADA bukan kawasan pengeluaran padi biasa. Kawasan ini merupakan antara nadi utama pengeluaran padi negara.
Justeru, kelewatan input kritikal yang melibatkan puluhan ribu pesawah dan kawasan tanaman yang luas seharusnya menjadi amaran bahawa rantaian bekalan input pertanian strategik negara perlu diperkukuh.
Tindakan pantas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bersetuju dengan permohonan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menamatkan perkhidmatan pembekal baja susulan kelewatan yang berlaku memperlihatkan keseriusan Kerajaan Madani menangani keluh resah pesawah.
Namun, selepas tindakan segera diambil, kita perlu bertanya mengapa keadaan ini boleh berlaku dan apakah jaminannya bahawa ia tidak berulang?
Dalam pengurusan agronomi, padi mempunyai kitaran biologinya sendiri. Apabila tiba peringkat tertentu dalam pertumbuhan, nutrien mesti tersedia.
Pembajaan yang tepat pada masanya penting bagi menyokong pembentukan anak padi, perkembangan vegetatif, pembentukan tangkai serta pengisian bijirin.
Jika pembajaan kritikal terlewat, potensi hasil boleh terjejas walaupun baja akhirnya sampai. Inilah perbezaan besar antara bekalan input pertanian dengan bekalan barangan biasa.
Dalam industri ini, lewat boleh dimaksudkan dengan hilang. Hilang peluang pembajaan optimum akan mengakibatkan hilang sebahagian potensi hasil dan seterusnya hilang pendapatan.
Apabila berlaku dalam skala yang besar, negara pula kehilangan sebahagian potensi pengeluaran makanannya.
Oleh itu, prestasi kontrak baja tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan persoalan sama ada jumlah baja akhirnya berjaya dihantar. Persoalan yang lebih penting ialah adakah baja sampai ketika tanaman memerlukannya?
Keterjaminan makanan sebenarnya mempunyai satu rantaian yang panjang yang bermula dari input pertanian, hingga ke pengguna. Baja berada pada bahagian awal rantaian ini.
Apabila bahagian awal terganggu, kesannya bergerak ke hadapan. Baja lewat boleh menjejaskan tumbesaran. Tumbesaran yang tidak optimum berpotensi menurunkan hasil sehektar.
Hasil yang rendah mengurangkan jumlah padi yang dihantar ke kilang. Bekalan padi yang berkurangan pula boleh mempengaruhi jumlah beras tempatan yang memasuki pasaran.
Hakikatnya, dalam keseluruhan rantaian pengeluaran padi, petanilah yang paling banyak menanggung risiko. Baja lewat, tanaman mereka yang terjejas. Air tidak mencukupi, hasil pengeluaran merosot.
Serangan penyakit dan perosak berlaku, mereka yang menanggung kerugian. Cuaca semakin tidak menentu, petani juga terpaksa berhadapan dengan ketidakpastian hasil.
Dalam masa yang sama, apabila harga benih, racun, baja, upah dan perkhidmatan mekanisasi meningkat, sekali lagi petani yang perlu mencari jalan untuk menampung pertambahan kos tersebut.
Ironinya, sebahagian besar faktor ini berada di luar kawalan mereka, tetapi apabila hasil berkurangan dan pendapatan merosot, petanilah yang akhirnya menanggung akibatnya.
Sampai bila segala risiko dalam rantaian pengeluaran makanan mahu diletakkan di bahu mereka?
Justeru, jangan terlalu mudah mengatakan petani malas, tidak produktif atau enggan berubah.
Persoalan yang lebih wajar ditanya ialah berapa lama mereka mampu bertahan apabila setiap musim datang bersama risiko dan ketidakpastian yang sebahagiannya bukan berpunca daripada mereka sendiri.
Apabila gangguan demi gangguan berlaku, kos terus meningkat tetapi pulangan tidak menentu, akhirnya akan sampai satu tahap mereka berasa penat, kecewa dan memilih untuk putus asa.
Bagi pesawah kecil, khususnya mereka yang semakin berusia dan tidak mempunyai pewaris yang mahu meneruskan pekerjaan di sawah, keputusan terakhir mungkin untuk berhenti mengusahakan tanah atau menjualnya.
Pada ketika itulah pihak yang mahu menangguk di air keruh mengambil kesempatan.
Sebab itu, menjaga kelangsungan hidup petani bukan semata-mata soal kebajikan golongan pesawah, malah ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab strategik negara dalam mempertahankan keterjaminan makanan.
Kerajaan perlu mengenal pasti pembekal tulen yang mempunyai kapasiti sebenar. Bagi input strategik seperti baja, penilaian tidak boleh hanya berdasarkan siapa menawarkan harga kompetitif atau memenuhi dokumen tender.
Kerajaan perlu menilai kapasiti pengeluaran, kemampuan kewangan, gudang, inventori, sumber bahan mentah, logistik, rangkaian pengedaran dan rekod penghantaran.
Bagi mengatasi masalah yang sama berulang, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu melakukan audit menyeluruh rantaian pembekalan baja padi.
Audit bukan untuk mencari kesalahan semata-mata tetapi mengenal pasti titik kegagalan daripada kontrak sehingga baja sampai kepada pesawah.
Kerajaan juga perlu memperkenalkan penarafan prestasi pembekal pertanian strategik. Rekod penghantaran, kemampuan logistik dan kegagalan memenuhi jadual perlu direkodkan dan menjadi sebahagian penilaian kontrak akan datang.
Pada masa yang sama, perlu diwujudkan stok penimbal input pertanian strategik. Kawasan jelapang utama tidak boleh berada dalam keadaan tiada pelan kecemasan apabila pembekal gagal.
Setiap kontrak utama perlu mempunyai pembekal alternatif yang telah melalui proses kelayakan lebih awal dan boleh diaktifkan dengan segera apabila berlaku kegagalan.
KPKM juga perlu membangunkan dashboard digital rantaian bekalan baja secara masa nyata bagi mengetahui berapa banyak baja tersedia, di mana stok berada, berapa telah dihantar dan kawasan mana masih belum menerima bekalan.
Situasi ini membolehkan Sistem Amaran Awal Input Pertanian akan dapat dikesan. Apabila bekalan lewat beberapa hari daripada jadual, sistem perlu memberikan amaran secara automatik.
Jangan menunggu isu menjadi tular di media sosial sebelum tindakan bermula.
Kerajaan juga perlu mempertimbangkan mekanisme perlindungan atau pampasan kehilangan hasil apabila dapat dibuktikan bahawa kegagalan sistem penyampaian input yang berada di luar kawalan petani telah menyebabkan kerugian signifikan.
Perkara ini adalah berkait dengan akauntabiliti di mana risiko kegagalan sistem tidak boleh dipindahkan sepenuhnya kepada petani.
Cabaran selepas ini ialah memastikan petani tidak perlu menunggu sesuatu isu menjadi tular sebelum suara mereka didengari.
Kita memerlukan sistem yang mampu mengesan masalah sebelum petani mengadu, melakukan intervensi sebelum tanaman terjejas dan menyediakan penyelesaian sebelum kerugian berlaku. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Zubir Ibrahim ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).










