KESUKARAN mendapatkan tauhu putih bercita rasa Malaysia ketika menetap di Qatar pada 2013 menjadi titik tolak kepada Noor Shoriah Mohammad Basir untuk menceburi perniagaan produk berasaskan soya.
Pemilik NSB Baroqah Enterprise itu berkata, pada awalnya beliau hanya menghasilkan tauhu untuk kegunaan perniagaan popia basah yang dimulakannya selepas berhenti kerja dan mengikut suami berhijrah ke Qatar pada 2012.
Menurutnya, tauhu putih yang menepati cita rasa dan tekstur masyarakat Malaysia sukar diperoleh di negara berkenaan, menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk mempelajari sendiri cara menghasilkan tauhu.
“Saya pada ketika itu menghadapi kesukaran mendapatkan tauhu yang menepati cita rasa saya, iaitu tauhu putih yang berbentuk dan bercitarasa Malaysia.
“Disebabkan keperluan itu, saya mula belajar menghasilkan tauhu putih dengan bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Melaka. Tujuan asalnya hanya untuk kegunaan popia basah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun, percaturan itu membawa kepada peluang baharu apabila beliau berkongsi hasil tauhu berkenaan di laman sosial, Facebook dan tidak menyangka produk tersebut mendapat permintaan daripada komuniti rakyat Malaysia di Qatar.
“Rupanya ramai rakyat Malaysia di komuniti saya di sana rindukan tauhu putih cita rasa Malaysia.
“Daripada situ, saya terus mengembangkan pengetahuan dengan mempelajari penghasilan tauhu lampung dan tempe sebelum pulang ke Malaysia bersama keluarga pada 2018.
“Sekembalinya ke tanah air, saya terus mula membangunkan perniagaan tauhu lampung menggunakan jenama SUKINA yang kini menjadi identiti perniagaannya,” katanya.
Bercerita mengenai modal, beliau memulakan perniagaan dengan modal sekitar RM20,000 dan memilih untuk mengembangkan operasi secara berperingkat.
Katanya, modal yang terhad memerlukan beliau lebih berhati-hati dalam menentukan keutamaan perbelanjaan, terutama bagi pembelian peralatan, bahan mentah dan keperluan pengeluaran.
“Saya tidak terus membuat pelaburan besar dalam semua perkara pada satu masa. Sebaliknya, saya cuba mengembangkan perniagaan mengikut kemampuan dan menggunakan semula keuntungan untuk memperbaiki serta mengembangkan operasi.
Dalam pada itu, beliau berkata, nama SUKINA dipilih kerana mudah disebut dan diingati, selain membawa maksud kegemaran, disukai atau paling diminati dalam bahasa Jepun.
“SUKINA bermula dengan hanya satu produk iaitu tauhu lampung yang dihasilkan di dapur rumah saya di Rembia, Alor Gajah, Melaka.
“Atas permintaan yang tinggi dan hasrat mendapatkan sijil halal untuk SUKINA, kami berpindah ke premis kedai pada 2019,” katanya.
Pada peringkat awal, katanya, hampir keseluruhan proses pengeluaran dilakukan secara manual sebelum operasi perniagaan diperkemaskan secara berperingkat mengikut pertumbuhan permintaan.
“Saya memilih untuk memberi tumpuan kepada tauhu lampung kerana produk keluaran bumiputera itu agak sukar didapati berbanding tauhu putih.
“Saya ingin membantu muslimin dan muslimat mendapatkan tauhu lampung keluaran bumiputera yang halalan toyyibban,” katanya.
Kini, SUKINA mempunyai Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), MeSTI dan MyFood Tag daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Selain tauhu lampung, SUKINA turut menghasilkan pelbagai produk berasaskan soya termasuk tauhu crispy mentah, tauhu putih, tauhu goreng, tauhu lembut dan tempe.
Mengulas lanjut, Noor Shoriah berkata, perubahan cara pengguna mencari produk dan membuat pembelian turut mengubah pendekatan SUKINA dalam pemasaran.
“Jika sebelum ini perniagaan banyak bergantung kepada jualan fizikal, hubungan dengan pelanggan dan pasaran setempat, kini media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok membuka peluang kepada SUKINA untuk mencapai pasaran lebih luas.
“Media sosial bukan sekadar tempat untuk menjual. Ia juga merupakan platform untuk membina kepercayaan dan menjawab keraguan pelanggan,” katanya.-UTUSAN










