NEXUS Fasa 1 kukuhkan hab komersial Seremban 2 

NEXUS Fasa 1 kukuhkan hab komersial Seremban 2 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IJM Land menerusi NEXUS Fasa 1 di Seremban 2 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab komersial berteraskan gaya hidup susulan proses penyerahan milikan kosong (VP) yang dimulakan mengikut jadual.

Pencapaian itu menandakan siapnya sebuah hab komersial utama yang dirancang bagi menyokong pertumbuhan perniagaan, memperkukuh kemudahan runcit serta memenuhi keperluan komuniti kediaman yang semakin berkembang di S2 Heights dan S2 Heights Aman.

Meliputi kira-kira 10.11 hektar dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM385 juta, pelan induk Nexus berstatus pegangan bebas itu merangkumi 207 unit secara keseluruhan.

Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, kejayaan pembangunan komersial dibina berasaskan keupayaan memenuhi permintaan sebenar, pertumbuhan penduduk yang berterusan serta peranan yang jelas dalam kehidupan harian komuniti.

“Nexus berada tepat pada titik pertemuan ini, selari dengan cara Seremban 2 berfungsi hari ini.

“Ia sekali gus menawarkan kepada perniagaan dan pembeli aset komersial yang berpaksikan kekuatan kawasan tadahan sebenar serta daya tarikan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Penyerahan semasa memberi tumpuan kepada Fasa 1 yang meliputi kawasan seluas 8.66 hektar dengan GDV sebanyak RM300 juta, membabitkan 166 unit kedai pejabat gaya hidup.

Beliau berkata, Fasa 1 terdiri daripada 147 unit kedai pejabat gaya hidup dua tingkat berstatus pegangan bebas, selain 19 unit yang dilengkapi kemudahan parkir sub-besmen.

“Fasa 1 yang merangkumi 166 unit itu telah siap sepenuhnya. Selaras dengan komitmen IJM Land terhadap pembangunan mampan, projek ini turut menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze.

“Keyakinan terhadap Nexus turut dizahirkan menerusi kadar pengambilan keseluruhan sebanyak 85 peratus setakat ini.

“Ia sekali gus mencerminkan keyakinan pembeli terhadap pembangunan komersial pegangan bebas yang disokong oleh perbandaran yang telah sedia matang, kawasan tadahan kediaman yang semakin berkembang serta prospek perniagaan yang kukuh,” katanya.

Penyiapan Nexus Fasa 1 hadir pada fasa penting dalam pertumbuhan Seremban 2, ketika kawasan kediaman terus berkembang melangkaui teras perbandaran yang telah lama terbentuk.

Katanya, dengan kedudukan strategik bagi memenuhi keperluan kawasan tadahan sekitar, khususnya S2 Heights dan S2 Heights Aman, Nexus membawa perniagaan, perkhidmatan dan kemudahan harian lebih dekat kepada komuniti yang sedang berkembang. 

“Ini selain ia membuka peluang baharu kepada perniagaan runcit, makanan dan minuman (F&B) serta gaya hidup untuk terus berkembang.

“Unit yang telah siap di Nexus Fasa 1 terdiri daripada kedai pejabat gaya hidup dua tingkat berstatus pegangan bebas dengan keluasan binaan antara 3,455 kaki persegi hingga 10,559 kaki persegi, sekali gus menawarkan fleksibiliti bagi pelbagai kegunaan perniagaan.

“Kedai pejabat berkenaan direka dengan fasad yang menonjol, tingkap pameran yang luas serta susun atur dalaman modular bagi menyokong keterlihatan, kehadiran jenama dan konfigurasi ruang yang mudah disesuaikan.

“Unit terpilih turut dilengkapi parkir sub-besmen, sekali gus menambah kemudahan kepada pengusaha dan pengunjung. Pelan induk itu turut menyediakan laluan pejalan kaki selebar 7.5 kaki serta jalan dalaman seluas 66 kaki,” katanya. 

Beliau berkata, Ciri-ciri berkenaan membolehkan Nexus menampung pelbagai segmen komersial termasuk premis makanan dan minuman (F&B), peruncitan, kesihatan dan kesejahteraan, pusat pengayaan serta perkhidmatan profesional.

“Kepelbagaian itu menyokong aktiviti yang konsisten sepanjang minggu, selain memperkukuh peranan pembangunan berkenaan dalam memenuhi keperluan rutin dan permintaan gaya hidup komuniti setempat.

“Nexus memasuki pasaran pada peringkat penting dalam perkembangan Seremban 2, ketika perbandaran itu terus matang dengan asas kediaman yang kukuh serta komuniti sekitar yang semakin berkembang.

“Dalam konteks itu, Nexus berada pada kedudukan baik untuk menjadi destinasi komersial semula jadi bagi penduduk S2 Heights dan S2 Heights Aman dengan membawa kemudahan harian lebih dekat ke rumah, selain memenuhi keperluan kawasan tadahan yang semakin meluas,” jelasnya. 

Kian Soon berkata, sebuah hab komersial yang telah siap di lokasi berkenaan membawa nilai praktikal kepada penduduk dan perniagaan. 

“Bagi komuniti sekitar, ia mengurangkan keperluan untuk bergerak lebih jauh bagi mendapatkan barangan keperluan harian dan tawaran gaya hidup.

“Bagi perniagaan pula, ia menyediakan akses langsung kepada pasaran sedia ada yang disokong oleh pergerakan harian serta asas penduduk yang terus berkembang,” ujarnya. -UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×