BARAKAH Pit Stop perluas peranan masjid, santuni komuniti ‘rider’ - Utusan Malaysia

BARAKAH Pit Stop perluas peranan masjid, santuni komuniti ‘rider’

ZULKIFLI Hasan (tiga dari kiri) ketika Gimik Pelancaran BARAKAH Pit Stop di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masjid bukan sekadar tempat menunaikan ibadah, sebaliknya turut menjadi pusat persinggahan yang menawarkan ruang rehat, makanan, bantuan dan sokongan kepada komuniti pemandu e-hailing serta penunggang p-hailing.

Pendekatan itu diterjemahkan menerusi BARAKAH Pit Stop yang menjadikan institusi masjid sebagai medium dakwah dan kebajikan yang dekat dengan kehidupan golongan berkenaan khususnya mereka yang menghabiskan sebahagian besar masa di jalan raya.

Sempena pelancaran program itu, seramai 70 penunggang p-hailing disantuni menerusi penyerahan makanan berbungkus dan sagu hati tunai sebagai sebahagian daripada usaha menjaga kebajikan komuniti berkenaan.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Food Bank Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut mencerminkan usaha menjadikan masjid lebih terbuka, mudah didekati dan bersedia memenuhi keperluan semasa masyarakat.

Katanya, konsep BARAKAH Pit Stop mengambil inspirasi daripada fungsi pit stop dalam perlumbaan Formula 1 yang menyediakan segala keperluan kepada pemandu dan jentera sebelum mereka kembali meneruskan perlumbaan.

“Pit stop bukan hanya tempat untuk berhenti, tetapi tempat untuk mendapatkan apa yang diperlukan sebelum meneruskan perjalanan dan saya melihat perkara sama boleh kita terapkan kepada masjid.

“Kita mahu masjid menjadi tempat yang sentiasa bersedia menyambut mereka yang singgah dengan menyediakan ruang untuk berehat, beribadah, mendapatkan makanan, bantuan, nasihat serta pelbagai kemudahan yang diperlukan,” katanya ketika merasmikan Program BARAKAH Pit Stop di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini, hari ini.

ZULKIFLI Hasan menyerahkan makanan berbungkus dan sagu hati tunai kepada penunggang p-hailing sempena pelancaran BARAKAH Pit Stop hari ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Zulkifli berkata, pelaksanaan BARAKAH Pit Stop kini diperluaskan ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar sebagai lokasi kedua selepas inisiatif sama diperkenalkan di Masjid Wilayah Persekutuan pada Mac lalu.

Katanya, maklum balas yang diterima daripada responden di lokasi pertama menunjukkan masyarakat menerima baik inisiatif berkenaan dan berharap kemudahan sama dapat disediakan di lebih banyak masjid.

“Insya-Allah, usaha ini akan kita lanjutkan dengan memperbanyak pusat sehenti sebegini di masjid-masjid Wilayah Persekutuan dan jika diberi ruang serta dipermudahkan, kita berharap konsep ini dapat diperluas ke seluruh Malaysia.

“Matlamat kita jelas iaitu menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran dakwah, kebajikan dan khidmat masyarakat khususnya kepada pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing yang menghabiskan sebahagian besar masa mereka di jalan raya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MAIWP memperuntukkan RM350,000 bagi pelaksanaan Program BARAKAH Pit Stop Parlimen Lembah Pantai untuk memenuhi keperluan komuniti pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing.

Katanya, pelaksanaan program berkenaan diharapkan dapat membuka ruang kepada institusi agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk menganjurkan lebih banyak program dakwah serta kebajikan kepada masyarakat.

“Saya berharap peruntukan ini bukan sekadar dapat memastikan kelancaran pelaksanaan program, malah mampu memberi manfaat secara langsung kepada golongan memerlukan serta memperluas usaha dakwah dan kebajikan kepada masyarakat.

“Kita tidak mahu masjid hanya hidup pada waktu solat tetapi hidup sepanjang masa bersama masyarakat sebagai tempat anak-anak mengenal agama, belia membina potensi, keluarga mendapatkan sokongan, musafir memperoleh kemudahan dan golongan memerlukan menerima bantuan,” katanya.

NORMAHIZAH MOHD. NOR

Mengulas lanjut mengenai program BARAKAH Pit Stop, penghantar makanan Foodpanda, Normahizah Mohd. Nor berpendapat, inisiatif berkenaan memenuhi keperluan golongan itu menerusi penyediaan ruang rehat, makanan dan kemudahan masjid di satu lokasi.

Katanya, pelaksanaan program tersebut merupakan pendekatan kebajikan yang bersesuaian dengan corak pekerjaan penghantar makanan yang menghabiskan sebahagian besar waktu bertugas di jalan raya.

“Pekerjaan sebagai penghantar makanan memerlukan kami berada di luar untuk tempoh yang lama dan ada ketikanya kami sukar mendapatkan tempat sesuai untuk berhenti antara satu penghantaran dengan penghantaran seterusnya.

“Kewujudan BARAKAH Pit Stop memberi keselesaan kepada kami kerana terdapat lokasi khusus untuk berehat dan makan sebelum menyambung semula tugas yang masih berbaki.

“Program ini juga mendekatkan kami dengan masjid kerana selain menggunakan ruang yang disediakan, kami berpeluang menunaikan solat sepanjang berada di kawasan berkenaan,” katanya.

HALIASIN ABDUL HAMID

Penghantar makanan GrabFood, Haliasin Abdul Hamid pula berpandangan, program BARAKAH Pit Stop wajar diperluaskan ke masjid di kawasan yang menjadi tumpuan perkhidmatan penghantaran bagi membolehkan lebih ramai penghantar makanan memanfaatkannya.

Katanya, penempatan pusat persinggahan di lokasi strategik penting kerana golongan itu lazimnya menerima tempahan di kawasan yang jauh dari kediaman dan perlu kekal berdekatan dengan pelanggan sepanjang waktu bekerja.

“Ada penghantar makanan yang menetap di Gombak tetapi mengambil tempahan di Bangsar, jadi jarak perjalanan menyebabkan kami tidak boleh pulang ke rumah setiap kali mahu berehat atau menunggu tempahan baharu.

“BARAKAH Pit Stop memudahkan kami singgah untuk makan, berehat dan menunaikan solat tanpa perlu keluar jauh dari kawasan tempat kami menjalankan penghantaran.

“Sebagai penghantar makanan, sudah pasti telefon dan powerbank perlu sentiasa mempunyai bateri kerana semua urusan termasuk menerima pesanan, mencari alamat dan menghubungi pelanggan dilakukan melalui aplikasi. Mulai kini, kami boleh mengecasnya ketika berada di masjid,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×