JOHOR BAHRU: Seorang tukang urut wanita warga asing maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah rumah kedai di Bandar Baru Permas Jaya, Masai di sini kelmarin, ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Ng Swie Chait berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 3.48 petang.
“Siasatan awal mendapati wanita berusia 36 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan terbabit ketika cuba melarikan diri semasa pemeriksaan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di premis tempat dia bekerja.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan mengalami pendarahan pada bahagian belakang kepala di belakang bangunan rumah kedai berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan retak pada bahagian kepala, selain mangsa mengalami patah beberapa tulang rusuk.
“Polis masih melengkapkan siasatan dari pelbagai sudut dan klasifikasi kes boleh berubah sekiranya laporan bedah siasat atau bukti baharu menunjukkan sebaliknya,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.-UTUSAN










