Usah jadikan media sosial jalan menuju kemungkaran

Usah jadikan media sosial jalan menuju kemungkaran

TOK GURU ABDUL RAHIM ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAJUAN teknologi dan media sosial hari ini memberi manusia ruang yang luas untuk berkongsi maklumat, menyampaikan pandangan dan berkomunikasi tanpa sempadan.

Perkembangan teknologi yang pesat itu turut menimbulkan kebimbangan kepada ulama tersohor negeri ini, Tok Guru Abdul Rahim Abdul Rahman yang berpandangan perkara yang sama jika tidak dikawal mampu menjerumuskan umat Islam ke kancah kemungkaran.

Amat mengecewakan katanya, dalam konteks media sosial, kemungkaran bukan bermula daripada pencipta kandungan yang tidak bermoral tetapi berkembang kepada netizen yang memilih untuk menyebarkannya.

“Kemungkaran ini boleh menjadi lebih besar apabila masyarakat memilih untuk menyebarkannya sekali gus meninggalkan jejak digital selama-lamanya sehingga akhirat kelak. Masalah ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di Pondok Sungai Jagung, Pendang Kedah baru-baru ini.

Mengulas lanjut isu itu, katanya, Islam mengehadkan seluruh pancaindera agar sentiasa berpada-pada agar tidak terjerumus kepada perkara yang membawa kejahatan.

 

TOK GURU ABDUL RAHIM ABDUL RAHMAN
Umur: 76 tahun
Pengasas Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah

 

“Ada balasan di akhirat esok. Mata, telinga, hati, semua itu akan disoal di akhirat esok dan perkara ini sudah tercatat dalam al-Quran Surah Al Isra’ ayat 36. Jadi jangan kerana kita menggunakan telefon, kita masuk dalam media sosial, lihat dan sambung perkara yang tidak baik.

“Suka netizen ini mahu jadi pemberita tanpa gaji, pembaca berita tanpa stesen televisyen, bebas menyampaikan segala perkara tanpa memikirkan akibatnya. Lebih parah apabila jatuh fitnah atau berita palsu,” katanya yang cukup dikenali dengan panggilan Tok Guru Abdul Rahim Sungai Jagung.

Beliau menambah, Rasulullah SAW pernah bersabda tentang kemungkaran seumpama ini yang diriwayatkan oleh Imam Muslim untuk mengingatkan umat Islam tentang peri penting untuk berhati-hati ketika menyebar sesuatu perkara.

“Cukuplah seseorang itu digelar berdusta apabila ia menceritakan apa sahaja yang didengarnya (kepada orang lain). Sabda ini jelas. Cukup jika seseorang itu ingin berdusta jadi perkara itu harus terhenti kepada dia sahaja, janganlah kita jadi penyebarnya,” jelas beliau yang masih aktif mengajar kuliah agama di pondoknya itu.

Menurut beliau, sikap gemar menghebahkan keburukan juga berkait rapat dengan sifat manusia yang mudah tertarik kepada perkara yang berunsurkan kejahatan.

“Al-Quran mengingatkan syahwat dan hawa nafsu adalah fitrah manusia. Namun kecenderungan manusia untuk tertarik kepada perkara melalaikan atau membawa kepada kemungkaran adalah sesuatu yang perlu dikawal, bukan dibiarkan.

“Kejahatan itu perkara yang biasa bagi manusia. Cuma tahap kejahatan itu berbeza. Sebab itu, kita perlu menangkis dan menghalang perkara yang tidak baik daripada terus berkembang,” katanya yang meneruskan pengajian agama di madrasah Patani Thailand dan bertalaqi dengan ulama tersohor dunia di Mekah selama enam tahun.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat supaya kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW dengan menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan dalam kehidupan, termasuk ketika menggunakan teknologi.

“Nasihat saya, kembali kepada al-Quran dan sunnah Nabi. Nabi SAW berpesan bahawa Baginda meninggalkan kepada kita dua perkara yang besar. Selagi kita berpegang kepada al-Quran dan sunnah, kita tidak akan sesat.

“Kembalilah kepada Islam. Dengan itu kita akan selamat. Selagi masyarakat semakin jauh daripada agama, semakin jauhlah kita daripada keberkatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×