Pistol dipegang Adam Corrie terkena kening saya selepas babak letupan pyro - Niezam Zaidi - Utusan Malaysia

Pistol dipegang Adam Corrie terkena kening saya selepas babak letupan pyro – Niezam Zaidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Niezam Zaidi, mendedahkan dia mengalami kecederaan di bahagian kening selepas terkena sepucuk pistol yang tidak sengaja terlepas daripada tangan Adam Corrie ketika menjalani penggambaran babak letupan pyro dalam filem terbarunya, Orang Perang.

Niezam atau Mohd Niezam Mohd Zaidi, 34, berkata, insiden itu berlaku apabila letupan pyro meletup sebelum pistol yang digunakan sebagai prop oleh Adam Corrie tersasar dan mengenai keningnya sehingga terkoyak.

“Kening saya koyak selepas terkena pistol yang dipegang Adam Corrie. Ketika itu babak letupan pyro berlaku dan pistol itu terlepas lalu terkena kening saya.

“Mula-mula saya ingat peluh, tetapi rupanya darah. Semua orang suruh saya ke hospital, tetapi saya tidak mahu,” katanya.

Niezam berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran trailer, poster dan runut bunyi filem Orang Perang di Hextar World Empire City, di sini, semalam.

Tambah Niezam, terdapat pasukan perubatan di situ yang menasihatinya pergi ke hospital tetapi dia menolak.

“Kita ada pasukan perubatan. Merek suruh pergi hospital tapi saya tidak mahu. Saya cuma sapu ubat gamat sahaja. Mereka juga siap bawa pengusung untuk saya.

“Kalau saya pergi, saya akan risaukan semua orang. Saya cuma mahu kekalkan tenaga dan semangat semua orang di lokasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Niezam turut berkongsi seorang lagi pelakon, Ammar Alfian, mengalami kecederaan ketika mereka menjalani penggambaran babak pertarungan apabila matanya terkena pinggan sehingga menjadi merah.

“Kami sedang buat babak bergaduh sebelum tiba-tiba pinggan itu terkena mata Ammar. Mata dia terus jadi merah,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, kecederaan itu secara tidak langsung memberi kesan visual yang bersesuaian dengan watak Ammar dalam babak seterusnya yang tidak memerlukan solekan tambahan.

“Watak dia memang memerlukan mata yang kelihatan merah untuk babak selepas itu yang mungkin makan modal kalau nak buat. Bila tengok hasil rakaman itu, macam ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×