SERDANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil langkah pertama dalam Program Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) bagi mentransformasi pembangunan modal insan dalam sektor perikanan.
Langkah itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik selama tiga tahun bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis melalui kaedah Akademi Dalam Industri (ADI) Perantisan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, LKIM mahu melahirkan belia, khususnya daripada komuniti nelayan, yang mempunyai kemahiran dalam bidang marin seperti pembaikan bot atau vesel serta peralatan penangkapan ikan.
Beliau berkata, kemahiran dalam bidang berkenaan semakin kurang dimiliki warga tempatan dan kini lebih banyak dikuasai pekerja asing.
“Dahulu kita terpaksa mengambil pekerja luar seperti daripada Thailand untuk membuat kerja pembaikan. Jadi sekarang kita melihat kepada anak-anak nelayan pun semakin ramai, pekerjaan pun semakin mencabar.
“Jadi kita nak pandu mereka kepada TVET tapi bidang yang spesifik dalam komuniti mereka iaitu bidang perikanan juga,” katanya selepas Majlis Memeterai Kerjasama Strategik bagi Pelaksanaan Program TVET LKIM sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah LKIM, Datuk Dr. Haji Abdul Salim bin Haji Tajudin dan pengurusan tertinggi LKIM.
Program tersebut akan mengamalkan konsep ‘train and place’ yang menggabungkan 20 hingga 30 peratus latihan teori di IKBN Kuala Perlis, manakala 70 hingga 80 peratus latihan amali praktikal akan dilaksanakan di lapangan.
Bagi projek rintis itu, Slipway Kuantan yang dikendalikan oleh PERNEPA Engineering and Maritime Services (PEMS) Sdn. Bhd. dipilih sebagai lokasi latihan amali bagi memenuhi keperluan industri penyelenggaraan marin tempatan.
Fasa permulaan projek rintis yang dijadualkan bermula November ini akan memberi keutamaan kepada pengambilan 12 belia dan anak nelayan berdaftar dari zon utara, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Para pelajar bakal menjalani latihan selama 15 bulan bagi memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3 dalam bidang Servis dan Penyelenggaraan Mekanikal serta Perpaipan Marin.
Muhammad Faiz berkata, beliau berharap anak-anak nelayan yang berminat tidak melepaskan peluang yang disediakan.
“Dan bila dapat peluang ini, belajarlah betul-betul sebab ada sijil dan pentauliahan, dan dengan itu mereka dapat menyumbang semula kepada komuniti nelayan itu sendiri, kepada bidang perikanan.
“Merekalah anak-anak nelayan, jadi patutnya harus menyumbang tenaga dan juga kemahiran mereka itu kepada komuniti nelayan juga, bagaimana nak memajukan lagi industri perikanan.
“Kita tidak mahu untuk masa depan nanti, bidang-bidang dalam perikanan ini dikuasai oleh pekerja asing. Kita nak biarlah kekayaan negara kita ini dikuasai oleh anak-anak tempatan,” katanya.-UTUSAN










