Calon FAM diingatkan jangan beli undi

Calon FAM diingatkan jangan beli undi

SEKSYEN 67 Kod Tatatertib FAM memperuntukkan hukuman sekurang-kurangnya RM2,500 serta larangan mengambil bahagian dalam aktiviti bola sepak atau penggantungan seumur hidup bagi kesalahan berkaitan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Calon yang bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025-2029 diingatkan supaya tidak menggunakan politik wang atau sebarang bentuk rasuah bagi meraih sokongan dan membeli undi.

Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, perbuatan memberi atau menerima wang bagi mempengaruhi proses pemilihan bukan sahaja boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan FAM, malah berdepan implikasi di bawah Kod Etika Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan undang-undang Malaysia.

Katanya, isu berkenaan perlu dipandang serius kerana ia membabitkan bukan sahaja pemberi dan penerima rasuah, tetapi turut merangkumi mana-mana individu yang mengetahui mengenai salah laku berkenaan tetapi gagal melaporkannya.

“Duit politik atau rasuah ini bukan hanya berkaitan isu sukan. Untuk perkara ini, ia melibatkan FAM, FIFA dan juga pihak berkuasa Malaysia.

“Jadi, calon-calon yang bertanding perlu memahami bahawa sekiranya mereka menggunakan wang untuk membeli undi, tindakan boleh dikenakan berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nik Erman berkata, Seksyen 67 Kod Tatatertib FAM memperuntukkan hukuman sekurang-kurangnya RM2,500 serta larangan mengambil bahagian dalam aktiviti bola sepak atau penggantungan seumur hidup bagi kesalahan berkaitan.

Katanya, Artikel 8 Statut FAM pula memperuntukkan seseorang yang didakwa atas kesalahan rasuah boleh hilang kelayakan untuk dilantik sebagai pegawai FAM, manakala individu yang disabitkan kesalahan tidak layak dilantik sebagai pegawai selama lima tahun dari tarikh menjalani hukuman.

“Di peringkat FIFA pula, Artikel 21 Kod Etika FIFA berkaitan pemberian atau penerimaan hadiah serta manfaat lain boleh membawa denda CHF10,000 (RM53,000) dan larangan mengambil bahagian dalam aktiviti bola sepak selama dua hingga lima tahun.

“Artikel 26 pula melarang seseorang menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan keuntungan peribadi dan kesalahan itu boleh membawa denda CHF10,000 serta larangan mengambil bahagian dalam aktiviti bola sepak sekurang-kurangnya dua tahun,” katanya.

Pada masa sama, Nik Erman berkata, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mempunyai peruntukan terhadap pihak yang memberi dan menerima rasuah menerusi Seksyen 16 dan 17.

Beliau turut memberikan contoh tindakan FIFA terhadap bekas Presiden Persatuan Bolasepak Equatorial Guinea, Gustavo Ndong, yang dikenakan denda RM53,000 dan larangan mengambil bahagian dalam aktiviti bola sepak selama tiga tahun kerana menerima kelebihan kewangan ketika memegang jawatan.

“Yang penting untuk difahami, bukan hanya orang yang memberi dan menerima rasuah boleh dikenakan tindakan. Sekiranya seseorang mengetahui perbuatan itu berlaku, dia juga mempunyai tanggungjawab untuk melaporkannya.

“Seksyen 18 Kod Etika FIFA meletakkan kewajiban kepada mana-mana pihak yang mengetahui perbuatan berkaitan duit politik untuk melaporkan insiden tersebut. Kegagalan berbuat demikian juga boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua calon yang bertanding dalam pemilihan FAM supaya tidak mengambil mudah isu politik wang kerana kesannya bukan sahaja boleh menjejaskan kelayakan mereka dalam arena bola sepak, malah berpotensi membawa implikasi undang-undang yang lebih serius.

“Pemilihan ini sepatutnya menjadi medan untuk memilih kepimpinan terbaik berdasarkan kemampuan, integriti dan visi mereka untuk FAM, bukannya siapa yang mampu menawarkan lebih banyak wang untuk mendapatkan undi.

“Calon perlu bertanding secara bersih dan pihak yang mempunyai maklumat mengenai salah laku juga tidak boleh berdiam diri kerana kegagalan melaporkan perbuatan tersebut boleh membawa akibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×