PETALING JAYA: AmFIRST Real Estate Investment Trust (AmFIRST REIT) mencadangkan pelupusan Menara AmBank di Jalan Yap Kwan Seng kepada AmBank (M) Berhad pada harga RM331 juta.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, AmFIRST REIT berkata, cadangan pelupusan itu membabitkan Maybank Trustees Berhad, selaku pemegang amanah bagi pihak AmFIRST REIT menjual aset berkenaan kepada AmBank.
“Cadangan berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi berterusan untuk merasionalisasi dan mempelbagaikan portfolio asetnya, termasuk melupuskan aset berpulangan rendah dan mengitar semula modal kepada inisiatif peningkatan aset serta pemerolehan aset berpulangan lebih tinggi.
“Strategi itu bertujuan menyokong penstrukturan semula portfolio, meningkatkan kepelbagaian serta mengukuhkan kemampanan pendapatan AmFIRST REIT dalam jangka panjang,” katanya.
Menara AmBank terdiri daripada sebuah bangunan pejabat khusus 46 tingkat dengan tujuh aras tempat letak kereta bertingkat dan terletak di kawasan Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.
Amanah pelaburan hartanah itu berkata, Menara AmBank secara konsisten menjana pendapatan operasi bersih (NPI) yang rendah sepanjang dekad lalu, terutamanya disebabkan kadar penghunian yang rendah berpanjangan dan kadar sewa yang sederhana.
Ujarnya, kadar penghunian purata Menara AmBank dalam tempoh tersebut adalah 76.09 peratus dan prospek peningkatan hasil yang ketara bagi aset itu kekal terhad berikutan lebihan bekalan struktur dalam pasaran pejabat Kuala Lumpur serta persaingan yang semakin meningkat daripada bangunan baharu dengan spesifikasi lebih tinggi.
“Akibatnya, hasil NPI aset tersebut kekal di bawah purata kos pinjaman AmFIRST REIT, menyebabkan jurang hasil negatif yang berterusan,” katanya.
Aset itu yang diperoleh pada 21 Disember 2006 mempunyai kos pelaburan asal RM230.17 juta dan cadangan pelupusan itu dijangka menyebabkan kerugian bersih daripada pelupusan kira-kira RM8.72 juta.
Bagaimanapun, transaksi itu dijangka merealisasikan keuntungan modal kasar kira-kira RM61.67 juta berdasarkan jumlah kos pelaburan RM269.33 juta, termasuk perbelanjaan modal RM39.16 juta, setakat 31 Mac 2026.
Menurut AmFIRST REIT, selepas mengambil kira anggaran perbelanjaan berkaitan pelupusan sebanyak RM10.97 juta, keuntungan modal bersih dianggarkan RM50.71 juta.
“Cadangan pelupusan berkenaan merupakan transaksi pihak berkaitan dan tertakluk kepada kelulusan pemegang unit pada mesyuarat pemegang unit akan datang.
“Jika semua kelulusan dan kebenaran yang diperlukan diperoleh serta tiada keadaan luar jangka, transaksi itu dijangka selesai pada suku pertama 2027,” jelasnya. – UTUSAN










