FIKSYEN dan sastera kanak-kanak dihasilkan khas untuk menyajikan bahan bacaan bermutu kepada golongan muda. Kita biasa melihat buku cerita kanak-kanak dalam bahasa Inggeris di kedai buku. Buku bahasa kebangsaan dan Mandarin juga semakin mudah ditemukan.
Namun, bagaimana pula dengan buku sastera kanak-kanak dalam bahasa Tamil yang dihasilkan di Malaysia? Persoalan ini menjadi lebih menarik apabila kita menyedari tradisi tersebut bukanlah sesuatu yang baharu.
Kajian bertajuk Malaysian Tamil Children Literature: Its Journey and Accomplishments oleh R. Mohana Dass, S. Sivakumar dan M. Krishanan yang diterbitkan dalam Forum for World Literature Studies (2018) menarik perhatian saya.
Ternyata sastera kanak-kanak bahasa Tamil di Malaysia ada sejarah yang panjang dan berkembang seiring perubahan masyarakat India di negara ini.
Dalam kajian tersebut, sastera dilihat bukan sekadar sebagai bahan untuk mengisi masa lapang. Kesusasteraan kanak-kanak berperanan membentuk pemikiran, keperibadian dan nilai seseorang anak.
Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan budaya, bahan bacaan kanak-kanak juga berpotensi menjadi jambatan untuk membantu memahami kehidupan masyarakat yang berbeza.
Sebagaimana dalam tradisi kaum Melayu, Cina, Orang Asli dan sebagainya, akar sastera kanak-kanak Tamil Malaysia tidak semestinya bermula dengan buku.
Pada peringkat awal, cerita, puisi dan lagu kanak-kanak diwariskan secara lisan. Lagu dodoi atau thalattu, misalnya, bukan sekadar untuk menidurkan anak. Di dalamnya terdapat kasih sayang, nasihat, irama dan nilai kehidupan. Cerita yang disampaikan oleh ibu bapa dan orang tua pula menjadi sebahagian daripada pengalaman harian kanak-kanak.
Tradisi lisan seperti ini turut membantu menyuburkan sastera kanak-kanak Tamil di Malaya. Kita sudah mula melihat bagaimana tradisi kita adalah sama walaupun berbeza bahasa, budaya, pengalaman, adat, dan kepercayaan.
Bagi sastera Tamil, perkembangan pendidikan Tamil membawa bersama keperluan terhadap buku teks, puisi, cerita dan bahan bacaan khusus untuk murid.
Jumlah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) meningkat daripada 122 buah pada 1922 kepada 888 buah pada 1957. Pertambahan sekolah bermakna pertambahan pembaca muda dan secara tidak langsung, meningkatkan keperluan terhadap bahan bacaan dalam bahasa Tamil.
DARI BILIK DARJAH KE HALAMAN BACAAN
Pada masa kini, ada 528 buah SJKT di Malaysia dengan jumlah murid seramai 78,501 orang. Maka, keperluan bahan bacaan sastera kanak-kanak bahasa Tamil masih ada. Penulis dan penerbit tempatan terus berusaha memenuhi keperluan bahan bacaan bermutu.
Akhbar dan majalah Tamil turut memainkan peranan besar dalam menggerakkan sastera kanak-kanak. Ruang yang disediakan untuk penulis muda pasti menjadi tempat percubaan, pembelajaran dan penghasilan karya.
Pada 1963, sebuah akhbar berbahasa Tamil pernah menyediakan ruangan khas Siruvar Aranggam bagi kanak-kanak. Beberapa akhbar lain turut menyediakan edisi atau ruangan khas untuk kanak-kanak mengasah bakat penulisan.
Majalah kanak-kanak juga mempunyai sejarah tersendiri. Majalah Manavar Poonga (Taman Pelajar) yang diterbitkan pada 1956, antara lain memuatkan cerita, puisi, drama dan bahan pengetahuan untuk kanak-kanak.
Kemudian muncul Thirumagal, Kuyil, Mayil dan Chutti Mayil yang terus membantu perkembangan sastera kanak-kanak di Malaysia.
Pada 1966, siaran pendidikan Tamil di Semenanjung Malaysia mula beroperasi dengan karya tempatan diberikan keutamaan. Puisi, cerita, ceramah dan drama yang dihasilkan oleh penulis tempatan disiarkan kepada pendengar.
Program seperti Paadhi Palaguvom dan Siruvar Poonga memberi peluang kepada kanak-kanak menikmati puisi dan persembahan secara bersama. Maka, apabila kita bercakap tentang sastera kanak-kanak bahasa Tamil di Malaysia, kita sebenarnya sedang bercakap tentang lebih daripada buku.
Kita sedang bercakap tentang suara seorang ibu yang mendodoikan anak. Tentang guru yang mencari bahan bacaan untuk murid dan penulis yang menghantar cerpen kepada akhbar. Juga majalah yang membuka ruang kepada kanak-kanak untuk menulis serta penyiar radio yang menyampaikan cerita kepada pendengar kecil di rumah.
Apa yang lebih menarik pada pemerhatian saya, karya tersebut akhirnya berubah daripada sekadar membawa pengaruh dari Tamil Nadu, India kepada karya yang semakin berakar di Malaysia.
Penulis tempatan mula mengangkat pengalaman masyarakat setempat, termasuk kehidupan di ladang, kemiskinan, pendidikan, perubahan sosial dan pengalaman masyarakat India di Malaya.
Kini, realiti kehidupan masyarakat pelbagai kaum turut menjadi bahan cerita.
Maka, sebagaimana sastera umum merakam sejarah, pengalaman, isu, harapan, budaya dan pemikiran masyarakat, begitulah juga sastera kanak-kanak membentuk serta merakam dunia kanak-kanak.
Tentulah menarik jika ada kajian khusus untuk melihat apa yang terkandung dalam sastera Melayu, Tamil, Cina dan bahasa-bahasa etnik lain di Malaysia. Usah kita lupa bahawa apa yang terkandung dalam karya berkenaan turut berperanan membentuk identiti dan jati diri kanak-kanak terbabit apabila dewasa.
Kajian pada 2018 menyatakan sastera kanak-kanak Tamil di Malaysia masih memerlukan perhatian dari segi jumlah, mutu, kreativiti dan kajian. Pada masa sama, beberapa hasil kajian di Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya menunjukkan bidang ini mempunyai sejarah, tokoh, penerbitan dan bentuk karya yang tersendiri.
Sastera kanak-kanak ialah sebahagian daripada wajah Malaysia. Jika kita mahu mengenali Malaysia melalui kanak-kanaknya, kita juga perlu membaca cerita yang mereka baca, mendengar puisi yang mereka dengar dan mengenali dunia yang dibina melalui bahasa mereka.
Bahasa Tamil ialah salah satu bahasa yang terus hidup di Malaysia. Di sebalik aksara Tamil yang mungkin tidak dapat dibaca masyarakat bukan kaum India, sebenarnya terdapat cerita tentang anak-anak Malaysia.
Selain usaha terjemahan karya secara profesional, kita juga boleh berkongsi kandungan karya pelbagai bahasa dengan rakan-rakan pelbagai kaum. Akhirnya, kita akan sedar bahawa kanak-kanak tanpa mengira kaum dan bahasa ibunda memliki imaginasi, cita-cita dan mimpi yang sama.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










