Gaza akan jadi milik Israel? - Utusan Malaysia

Gaza akan jadi milik Israel?

SEORANG lelaki duduk berhampiran sebuah kenderaan yang musnah susulan serangan Israel di kawasan kejiranan Rimal, Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR GAZA: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mendedahkan rejim Zionis masih berusaha untuk memindahkan rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza sambil mengakui Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hanya membekukan rancangan berkenaan yang menurut pejuang hak asasi manusia boleh membawa kepada pembersihan etnik.

Bercakap pada satu persida­ngan anjuran penerbitan Israel, Ynet pada Rabu, Katz berkata, mengusir penduduk Gaza yang disifatkan sesetengah pegawai Israel sebagai ‘migrasi atau penghijrahan secara sukarela’ kekal sebagai satu-satunya penyelesaian.

Katz berkata, kerajaan Israel bersedia untuk mengambil alih Gaza melalui laut, udara dan apa sahaja cara bagi melaksanakan rancangan berkenaan.

Menurut beliau, negara-negara lain yang mungkin bersedia menerima rakyat Palestin yang dipindahkan memerlukan sokongan AS tetapi menegaskan Washington masih belum menggugurkan cadangan tersebut sepenuhnya. 

Katz turut mengaku ranca­ngan pembersihan etnik itu sentiasa dibincangkan.

“Pada akhirnya, tiada penyelesaian sebenar untuk Gaza tanpa penghijrahan ini. Buat masa ini, Trump tidak membatalkannya, beliau hanya membekukannya.

“Saya fikir pada akhirnya tiada penyelesaian lain, demi kepentingan semua pihak. Tetapi untuk perkara itu berlaku, kita memerlukan AS dan masanya akan tiba ,” kata Katz menurut Times of Israel.

Pejuang hak asasi rakyat Pales­tin sejak hampir tiga tahun lalu mendakwa matlamat utama perang Israel di Gaza yang disifatkan sebagai genosid adalah untuk melakukan pembersihan etnik terhadap wilayah Palestin itu.

Beberapa pegawai Israel berhaluan kanan sebelum ini secara terbuka menyeru supaya penduduk Gaza dipindahkan, manakala Trump menyokong idea itu pada awal tempoh ke­pimpinannya dengan berkata, AS akan mengambil alih dan ‘memiliki’ wilayah berkenaan selepas rakyat Palestin dipindahkan.

Cadangan itu mencetuskan kemarahan negara-negara Asia Barat, termasuk kerajaan yang merupakan sekutu Washington.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025, Israel terus mengehadkan bantuan ke Gaza dan menghalang usaha pembinaan semula di wilayah itu, selain melancarkan serangan terhadap rakyat Palestin hampir setiap hari.

Sepanjang tiga tahun lalu, AS telah menyalurkan kira-kira AS$25 bilion (RM101.12 bilion) dalam bentuk bantuan ketenteraan kepada Israel serta mempertahankan kerajaan Israel di forum antarabangsa, termasuk mengenakan sekatan terhadap pegawai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang menyia­sat kekejaman di Gaza.

Pada Julai lalu, Trump mengumumkan perjanjian untuk melucutkan senjata Hamas sebagai sebahagian daripada proses yang disokong AS, termasuk pengunduran tentera Israel dan penamatan serangan maut terhadap wilayah Palestin itu.

Bagaimanapun, Israel menolak cadangan tersebut dengan alasan tidak akan membuat sebarang konsesi sehingga Gaza bebas daripada keupayaan ketenteraan sepenuhnya.

Mengulas kenyataan Katz, Senator AS, Chris Van Hollen berkata, beliau bersama Senator Demokrat, Jeff Merkley memberi amaran  Israel merancang untuk melakukan pembersihan etnik terhadap wilayah Palestin itu selepas mereka melawat sempadan Gaza-Mesir tahun lalu.

“Sekarang Menteri Pertahanan Israel mengesahkan bahawa itulah matlamatnya. Kita mesti menghentikan keterlibatan kita,” tulis Van Hollen dalam satu hantaran di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×