Zila Bakarin pantang orang hina, ejek tubuh - Utusan Malaysia

Zila Bakarin pantang orang hina, ejek tubuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon, Zila Bakarin tidak akan berkompromi dengan perbuatan menghina tubuh atau melakukan body shaming terhadap individu lain, malah pendirian itu sudah sebati dengan dirinya sejak dahulu.

Menurut Zila, dia bukan sengaja mahu bersikap lantang atau tegas ketika bersuara mengenai isu berkenaan, sebaliknya berpendapat setiap individu perlu menjaga sensitiviti dan maruah orang lain.

“Saya pantang kalau hina orang, body shaming orang. Saya takkan mengata orang, saya takkan hina orang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya saya memang macam ini. Dari dulu saya macam ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Zila berkata, kelantangannya bersuara mengenai perkara itu juga pernah mengundang kecaman ketika dia mula aktif menggunakan Threads.

“Awal-awal dulu saya pun pernah dikecam juga. Orang tidak suka, maksudnya mereka tidak tahu cara saya balas.

“Kadang-kadang sampai ada orang cakap, ‘Kau kena faham tau Zila Bakarin ini bercakap.’

“Tetapi saya memang begitu. Kalau saya nampak orang dihina atau dilakukan body shaming, saya tidak boleh diam,” katanya.

Dalam nada berseloroh, Zila turut memberikan contoh bagaimana dia menegur perkara berkaitan penampilan ketika berada di set penggambaran.

“Kadang-kadang sampai ada orang cakap dekat set, ‘Dik, kempis sikit dik. Baju keluar dik, tak payah.’

“Saya balas semula, penat-penat kerja kru juga, kan? Ha, macam itulah. Saya cakap benda-benda macam itu dan mereka faham,” katanya.

Pada masa sama, Zila mengakui aplikasi Threads menjadi antara platform media sosial yang banyak memberikan perkara positif kepadanya, berbanding tanggapan sesetengah pihak yang menganggapnya sebagai lubuk gosip dan kemarahan.

“Saya rasa Threads bagus. Saya dapat banyak benda positif dekat Threads.

“Janganlah sebenarnya orang banyak cakap Threads begini, begini, begini. Ada saja banyak benda positif dan benda-benda yang baik.

“Sebenarnya kesianlah kepada kita yang aktif di Threads, kita sunyi. Saya pula tawaran sudah tidak banyak, jadi 24 jam di Threads saja.

“Mana-mana yang saya boleh komen, saya akan komen. Itu saja kerja saya, rupanya kerja, makan, main Threads,” katanya berseloroh.

Menurut Zila, Threads turut banyak membantu dirinya apabila peminat sentiasa memberikan sokongan terhadap penyertaannya dalam program Kilauan Emas Selebriti.

“Threads sangat membantu saya. Setiap kali saya minta tolong, mereka akan selalu ada.

“Alhamdulillah, tidak ada mereka mengecam seperti yang saya tengok di media sosial lain. Mereka okey saja. Sokonglah saya,” katanya.

Bercerita mengenai penerimaan pengguna Threads pula, Zila menyifatkan manusia sebagai individu yang kompleks dan mempunyai pandangan berbeza.

Justeru, dia memilih untuk berlapang dada sekiranya pandangan atau pendapatnya tidak diterima semua pihak.

“Saya rasa pemikiran orang dalam Threads di luar kotak.

“Dalam 10 komen, lapan daripadanya kadang-kadang saya tidak sangka mereka boleh jawab benda yang tidak dijangka,” katanya.

Zila berkata, keadaan itu membuatkannya semakin selesa menggunakan Threads sehingga sanggup meluangkan masa berjam-jam di aplikasi berkenaan.

“Jadi kerja saya pukul 3 pagi itu melayan Threads,” katanya berseloroh. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini