Anwar mahu kembalikan dana yang 'dirompak' kepada rakyat 

Anwar mahu kembalikan dana yang ‘dirompak’ kepada rakyat 

ANWAR Ibrahim (kanan) melakukan gimik peluncuran Sahabat Madani pada program Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat Madani di UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berhasrat untuk mengembalikan semula dana awam yang ‘dirompak’ akibat kegiatan rasuah kepada rakyat termasuk mahasiswa dan institusi pendidikan jika masih diberi amanah atau mandat sebagai Perdana Menteri selepas ini.

Menurut Anwar, dalam hal ini, negara sebenarnya mampu mengelak daripada menanggung kerugian yang besar sekiranya kegiatan rasuah serta penyalahgunaan kuasa dapat dielakkan daripada awal.

“Kalau kita boleh jimat daripada dua badan ini (merujuk kepada kerugian yang ditanggung oleh Tabung Haji dan Felda) sebanyak RM20 bilion ringgit, dia (wang itu) bukan untuk saya. Dia bukan juga untuk projek negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi, kalau saya terus diberi amanah selepas ini (sebagai Perdana Menteri), jumlah yang berjaya dijimatkan itu saya nak pulangkan balik kepada pelajar dan mahasiswa dan rakyat dan institusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program Ambang Merdeka Sahabat Madani Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Permatang Pauh di sini.

Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa Tabung Haji pernah mengalami kerugian sehingga RM12 bilion akibat kelemahan pengurusan dan tadbir urus, manakala Felda pula merekodkan kerugian sebanyak RM10 bilion.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau mahu anak-anak muda berbangga dengan Malaysia yang kini boleh dianggap sebagai antara negara yang hebat serta menjadi tumpuan dunia.

“Saya yakin, di umur sekarang ini, (menjadi) datuk kepada anak-anak, saya hanya bercita-cita untuk menjamin negara ini kekal stabil politiknya dan aman selain mahu mengajak rakyat, terutama anak-anak muda, ‘tumbuh’ untuk membangunkan bangsa kita.

“Tetapi, jika kita terus menghina antara satu sama lain serta sentiasa memainkan isu perkauman dan agama, maka, kita tidak akan mampu untuk membangunkan negara ini,” tegas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini