Pas Kelantan buat ‘bisnes’ ketika pandemik? - Utusan Malaysia

Pas Kelantan buat ‘bisnes’ ketika pandemik?

Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa merupakan salah satu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan Pas Kelantan mengenakan bayaran sewa sebelum membenarkan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa di sini dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) disifatkan amat memalukan.

Lebih memalukan, kata Ke­tua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan, jika parti itu benar-benar tergamak me­ngenakan kadar sewa yang tinggi sebagaimana didakwa sehingga membebankan pihak pengurusan PKRC.

“Apabila Pengarah PKRC sendiri ‘terlepas cakap’ beliau merayu supaya kadar sewa Putik yang kini dijadikan PKRC dikurangkan, alangkah terkejutnya saya membaca berita itu. Ramai sangka ia percuma sebab tempat itu milik Pas yang merupakan kerajaan di Kelantan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Turut menjadi persoalan, siapa yang menentukan PKRC dibuka di Putik yang 100 peratus kepunyaan Pas? Kenapa tidak di tempat lain milik agensi kerajaan? Nampaknya Pas ini memang pandai membuat ‘bisnes’ ketika dalam pandemik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Isnin lalu, Pengarah PKRC negeri, Dr. Mohd. Zurairie Mohd. Zubir memberitahu, jumlah PKRC di negeri ini akan dikurangkan kepada 10 buah kerana trend Covid-19 sudah semakin menurun, selain terdapat fasiliti yang disewa pada kadar tinggi seperti PKRC Putik.

Mengulas lanjut, Hazmi ber­kata, jika benar bagai didakwa, beliau kesal Pas masih boleh mencari jalan ‘menjana’ keuntungan ketika kebanyakan perniagaan rakyat dan periuk nasi mereka kini terjejas teruk.

“Ketika mereka menyuruh rakyat berdoa dan duduk di rumah, bukan mengangkat bendera putih, kenapa masih kenakan bayaran? Dan kenapa kadar bayaran itu mahal?,’’ soalnya.

Sementara itu, Dr. Mohd. Zurairie ketika dihubungi enggan mengulas lanjut kenyataan dikeluarkan beliau sebelum ini manakala Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin pula tidak menjawab panggilan te­lefon atau membalas mesej. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini