SALAH faham mengenai Hari Merdeka dan istilah kemerdekaan berulang setiap tahun.
Naratif 500 tahun dijajah menutup satu hakikat perundangan bahawa negeri Melayu tidak pernah hilang kedaulatannya.
Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946, dan diikuti 1947 amat jelas merakamkan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan atas kuasa kedaulatan bersama raja-raja Melayu bagi negeri Melayu dan mahkota British bagi negeri selat Pulau Pinang dan Melaka.
Bagi kedudukan Pulau Pinang, walaupun menjadi koloni British, hanyalah kerana kuasa kedaulatan dilaksanakan oleh mahkota British tetapi tanahnya masih kekal milik Kesultanan Kedah yang diikat melalui Triti Kedah 1791, 1800 dan kemudiannya Triti 1869.
Sifat pajakan Pulau Pinang dikekalkan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 walaupun kuasa kedaulatan dilaksanakan mengikut Perlembagaan Pulau Pinang dan Perlembagaan Persekutuan.
Gagasan Malayan Union, satu cubaan untuk menggantikan kedaulatan raja-raja Melayu dengan demokrasi berparlimen acuan Westminster gagal akibat tentangan orang Melayu di seluruh Tanah Melayu.
Protes turut dikemukakan oleh raja-raja Melayu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan bagi Koloni di London sebaik Perjanjian Harold MacMichael ditandatangani pada tahun 1945.
Walaupun Malayan Union dimasyhurkan pada 1 April 1946, namun banyak polisinya digantung sehingga dibatalkan oleh Perjanjian Negeri 1948.
Dalam Perjanjian Negeri 1948, penegasan negeri Melayu kekal berdaulat terakam dalam fasal yang menyatakan bahawa kedaulatan raja-raja Melayu ialah prerogatif, kuasa dan bidangkuasa yang baginda miliki sebagaimana pada 1 Disember 1941.
Dakwaan yang menyatakan raja Melayu telah menyerahkan kerajaan baginda kepada British melalui perjanjian seawal Triti Pangkor 1874 ialah satu tuduhan dan hasutan yang serius. Ini kerana mengikut adat Melayu, jika raja Melayu menyerahkan kerajaan kepada bangsa atau kuasa asing maka rakyat tidak boleh lagi memberikan kesetiaan dan baginda hendaklah diturunkan daripada takhta kerajaan.
Raja Melayu hanya menerima sistem penasihatan British dalam pemerintahan awam melalui Majlis Negeri manakala kuasa kedaulatan kekal di tangan baginda.
Dalam proses pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, tidak berlaku apa yang dikatakan kontrak sosial. Ini kerana kuasa kedaulatan terpelihara pada raja Melayu dan baginda diwakili oleh para pembesar untuk berunding dengan British yang dibantu oleh pemimpin UMNO, yang turut merupakan pembesar raja Melayu.
Undang-undang yang diluluskan Parlimen Britain dan Majlis Negeri Tanah Melayu jelas memaktubkan bahawa tujuan penggubalannya ialah untuk menubuhkan sebuah Persekutuan baharu yang bersifat bebas dan merdeka di dalam Komenwel.
Dalam perisytiharan Kemerdekaan oleh Ketua Menteri Persekutuan pada 31 Ogos 1957 turut menyatakan hal yang sama. Ini menolak terus naratif bahawa kemerdekaan diperoleh hasil ‘tawar menawar’ antara kaum.
Tafsiran kemerdekaan akan lebih jelas apabila perenggan 3 dan 5 Memorandum Peguam Negara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 7 Mei 1956 dirujuk. Perenggan tersebut berbunyi seperti yang berikut:
“3. ……”Kemerdekaan” sejauh yang melibatkan Negeri Melayu mengandungi penamatan hak baginda ratu untuk mengawal pertahanan dan hal ehwal luar serta untuk campur tangan dalam pentadbiran dalaman. Hak-hak ini diwujudkan menerusi triti terdahulu dan kini wujud semata-mata menerusi Perjanjian Persekutuan dan Perjanjian Negeri. Sekiranya hak-hak yang diberikan secara kontrak ini hendak ditamatkan, satu-satunya cara yang wajar dari sudut undang-undang untuk berbuat demikian adalah dengan menamatkannya melalui cara yang sama ia diwujudkan, iaitu melalui satu perjanjian antara Baginda Ratu dengan raja-raja Melayu.
5. Adalah jelas tidak mustahil untuk berbuat lebih daripada sekadar merangkakan elemen triti sedemikian sebagaimana yang saya cadangkan. Ia akan dimeterai antara baginda ratu dengan raja-raja Melayu dan juga Yang di-Pertuan Agong sedemikian. Ia akan menyatakan perjanjian terdahulu dalam terma yang agak umum, hasrat pihak terlibat bahawa Tanah Melayu patut membentuk sebuah negara tunggal dan patut mempunyai kawalan penuh ke atas hal ehwal luar serta pertahanannya, dan bahawa bekas negeri Selat British patut menjadi bahagian daripada negara baharu tersebut.
Bahagian substantif triti tersebut akan mengandungi terma berikut:
1. Baginda ratu akan melepaskan hak triti sedia ada baginda untuk mengawal hal ehwal luar.
2. Baginda ratu, raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong akan bersetuju secara terma umum bahawa kedua-dua negara patut hidup atas terma persahabatan dan kedamaian kekal serta tidak akan membantu musuh antara satu sama lain.
3. Baginda ratu akan melepaskan hak baginda untuk mengawal pertahanan luar, manakala raja-raja Melayu pula akan melepaskan baginda daripada kewajipan perlindungan tetapi akan dipersetujui bahawa sebagai ganti kepada hak dan kewajipan sedemikian, pihak-pihak terlibat akan mematuhi terma Perjanjian Pertahanan.
4. Baginda ratu akan bersetuju bahawa negeri selat patut menjadi bahagian daripada negara baharu yang akan ditadbir mengikut Perlembagaan, yang turut dijadualkan, di mana raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong akan mengisytiharkan untuk diterima dan dipatuhi secara setia oleh baginda sekalian sebagai Perlembagaan yang mana seluruh wilayah baginda akan ditadbir.”
Kedudukan negeri Melayu yang tidak dijajah menunjukkan prinsip kedaulatan yang terkandung dalam Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan perlu dilandaskan kepada kedaulatan raja-raja Melayu pada 1 Disember 1941.
BETULKAN YANG SALAH
Justeru, sambutan Hari Kemerdekaan setiap 31 Ogos wajar dihayati dengan kefahaman yang tepat. Ia bukan memperingati pembebasan daripada 500 tahun penjajahan.
Ia sebaliknya memperingati kebijaksanaan raja-raja Melayu serta rakyat mempertahankan kedaulatan juga kejayaan menubuhkan sebuah Persekutuan baharu yang merdeka, berdaulat, dan menjadi rumah bersama untuk semua warganegaranya. –UTUSAN
DATUK Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Pengasas Jurisprudens Watan & Fiqh al-Watan, ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM ) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).











