Israel pulangkan jenazah remaja Palestin selepas 9 bulan ditahan

Israel pulangkan jenazah remaja Palestin selepas 9 bulan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Jenazah remaja Palestin yang ditembak mati tentera Israel lebih sembilan bulan lalu akan diserahkan kepada keluarganya, menurut sebuah kumpulan Palestin semalam.

Kempen Kebangsaan untuk Pengambilan Jenazah Syahid Palestin berkata, Jadallah Jihad Jumaa Jadallah, 15, dari kem pelarian Al-Fara’a di Tubas terbunuh dalam serbuan tentera Israel di kem itu pada 16 November 2025.

Jenazahnya kekal dalam tahanan Israel sejak kejadian berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan untuk menyerahkan jasad itu dibuat selepas kempen berkenaan memfailkan petisyen di Mahkamah Agung Israel pada Mac bagi menuntut jasad remaja itu dikembalikan.

Mahkamah yang beberapa kali memberikan tempoh tambahan kepada pendakwa raya untuk menjawab petisyen itu menerima makluman pada Rabu bahawa pihak berkuasa Israel akan menyerahkan jasad berkenaan dalam beberapa hari akan datang.

Bagaimanapun, tiada tarikh khusus ditetapkan.

Kempen itu berkata, penahanan jasad Jadallah selama lebih sembilan bulan menyebabkan keluarganya tidak dapat mengebumikannya.

Dalam angka yang dikeluarkan pada Rabu sempena Hari Kebangsaan untuk Pengambilan Jenazah Syahid Palestin yang disambut setiap tahun, kumpulan itu berkata Israel masih menahan kira-kira 1,700 jenazaj rakyat Palestin, termasuk 799 yang identitinya dikenal pasti.

Daripada jumlah itu, 81 adalah kanak-kanak berusia bawah 18 tahun, 99 rakyat Palestin yang meninggal dunia ketika berada dalam penjara Israel dan 10 wanita, menurut kumpulan berkenaan.

Kempen itu berkata, sebanyak 256 lagi jasad disimpan di tanah perkuburan bernombor, iaitu kubur yang ditandakan dengan nombor dan bukannya nama, manakala Israel menyimpan maklumat mengenai identiti individu yang dikebumikan di situ.

Mahkamah Agung Israel pada 2019 memutuskan pihak berkuasa boleh menahan jasad rakyat Palestin untuk digunakan sebagai bahan tawar-menawar, sebelum dasar itu diperluaskan kepada rakyat Palestin yang didakwa Israel melakukan serangan.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini