Ekonomi kukuh tapi kuasa beli rakyat masih teruji

Ekonomi kukuh tapi kuasa beli rakyat masih teruji

KERAJAAN perlu memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada pendapatan lebih tinggi, kos hidup terkawal dan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM perbincangan awam mengenai ekonomi Malaysia, kita sering berdepan dengan dua naratif yang seolah-olah bertentangan.

Di satu pihak, kerajaan dan institusi rasmi membentangkan data makroekonomi menggalakkan, termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang stabil, inflasi terkawal, kadar pengangguran rendah serta aliran pelaburan terus masuk ke dalam negara.

Data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan ekonomi negara terus mencatatkan pertumbuhan positif, dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai tunjang utama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada masa sama, kadar inflasi keseluruhan berada pada tahap sederhana sekitar dua peratus, manakala inflasi teras dan makanan juga masih dalam lingkungan yang boleh dikawal.

Di pihak lain, majoriti rakyat pula berdepan pengalaman berbeza. Dalam perbualan harian, media sosial dan ruang awam, keluhan mengenai kos sara hidup, gaji yang tidak mencukupi serta tekanan kewangan semakin menjadi tema yang tidak pernah surut.

Ramai merasakan walaupun angka ekonomi di peringkat nasional kelihatan baik, namun realiti kehidupan tidak sepenuhnya mencerminkan gambaran yang diberikan statistik rasmi.

Kebimbangan lahir daripada pengalaman harian isi rumah Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Kedua-dua naratif ini sebenarnya tidak saling menafikan. Sebaliknya, ia memperlihatkan hakikat yang lebih kompleks, iaitu ekonomi Malaysia mungkin berkembang pada peringkat agregat tetapi manfaat pertumbuhan itu belum dirasai secara seimbang oleh semua lapisan masyarakat.

Jurang antara prestasi makroekonomi dengan kesejahteraan mikro inilah yang perlu diberikan perhatian supaya penilaian terhadap ekonomi negara tidak hanya tertumpu kepada angka besar tetapi turut melihat kehidupan sebenar rakyat.

Dari perspektif data, prestasi ekonomi Malaysia tidak boleh dipandang ringan. Pertumbuhan KDNK yang berterusan, disokong penyertaan sektor swasta dan aliran pelaburan langsung asing yang positif, menunjukkan ekonomi negara mempunyai daya tahan yang kukuh.

Sektor perkhidmatan, yang menyumbang sebahagian besar kepada KDNK, terus berkembang dengan sokongan permintaan domestik. Sektor pembuatan pula menunjukkan peningkatan dalam pengeluaran perindustrian dan eksport, khususnya dalam subsektor elektrik dan elektronik serta produk berasaskan sumber.

Pasaran buruh juga kekal stabil dengan kadar pengangguran sekitar tiga peratus. Tenaga pekerjaan formal terus berkembang, termasuk dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Data terkini menunjukkan pada suku pertama 2026, jumlah pekerja formal mencecah lebih tujuh juta orang. Pertumbuhan ini menunjukkan ekonomi negara masih mampu menjana pekerjaan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Sistem kewangan negara juga kekal stabil dengan rizab antarabangsa yang kukuh dan penawaran wang (M3) yang terus berkembang.

Kadar dasar semalaman (OPR) yang dikekalkan pada tahap sederhana pula menunjukkan Bank Negara Malaysia (BNM) berusaha mengimbangi keperluan mengawal inflasi dengan sokongan terhadap pertumbuhan ekonomi.
Dalam konteks ini, dakwaan ekonomi Malaysia sedang ‘merudum’ atau ‘hampir gagal’ tidak disokong oleh data empirikal.

KEBIMBANGAN RAKYAT

Namun, prestasi makroekonomi yang baik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan kebimbangan rakyat.

Persoalan utama bagi kebanyakan isi rumah bukanlah berapa kadar pertumbuhan KDNK atau inflasi nasional tetapi sama ada pendapatan yang diterima mencukupi untuk memenuhi keperluan harian.

Data upah memberikan gambaran yang lebih dekat dengan realiti tersebut. Pada suku pertama 2026, median upah bulanan pekerja formal warganegara Malaysia adalah sekitar RM3,027.

Walaupun angka itu meningkat berbanding tempoh sebelumnya, jumlah tersebut masih memberikan tekanan kepada pekerja, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar yang berdepan kos perumahan, pengangkutan serta keperluan keluarga yang tinggi.

Bagi pekerja yang memperoleh gaji pada paras median, komitmen seperti sewa rumah, utiliti, pengangkutan, pendidikan anak dan bayaran pinjaman boleh mengambil sebahagian besar pendapatan bulanan.

Lebih membimbangkan, taburan upah menunjukkan sebahagian besar pekerja formal masih berada dalam kumpulan berpendapatan rendah. Sekitar 50 peratus pekerja formal memperoleh kurang daripada RM3,000 sebulan, dengan sebahagian besarnya tertumpu dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan perniagaan kecil.

Keadaan ini menjelaskan mengapa inflasi yang rendah tidak semestinya bermakna tekanan kewangan turut rendah.

Struktur perbelanjaan isi rumah juga perlu dilihat. Bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, sebahagian besar pendapatan diperuntukkan kepada keperluan asas seperti makanan, perumahan dan pengangkutan.

Justeru, perubahan harga dalam komponen tersebut memberi kesan lebih besar kepada mereka berbanding gambaran yang ditunjukkan oleh purata inflasi nasional.

Walaupun Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan meningkat sekitar dua peratus, perubahan harga barangan keperluan tetap dirasai secara berbeza mengikut corak perbelanjaan setiap isi rumah.

Di sinilah pentingnya membezakan antara inflasi yang rendah dengan kos kehidupan yang rendah. Kedua-duanya tidak semestinya membawa maksud yang sama.

LANGKAH PROAKTIF

Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani tekanan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Antaranya termasuk bantuan tunai bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi bersasar serta program peningkatan kemahiran dan produktiviti.

Rasionalisasi subsidi juga dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan tekanan terhadap kedudukan fiskal negara, sambil memastikan golongan rentan terus mendapat perlindungan melalui bantuan yang lebih bersasar.

Pada masa sama, kerajaan memperkenalkan dasar yang memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan, termasuk kajian semula gaji minimum, usaha meningkatkan produktiviti pekerja serta langkah menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu mewujudkan pekerjaan bergaji lebih baik.

Melalui Belanjawan 2025 dan 2026, peruntukan turut disediakan untuk bantuan sosial, pendidikan dan latihan kemahiran sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat.

Namun, keberkesanan semua langkah ini akhirnya perlu diukur bukan sekadar melalui jumlah peruntukan atau bilangan penerima tetapi melalui perubahan sebenar dalam kehidupan isi rumah.

Ekonomi yang berkembang belum tentu bermakna rakyat hidup lebih selesa. Begitu juga inflasi yang terkawal tidak semestinya menghapuskan tekanan kewangan.

Justeru, penilaian terhadap prestasi ekonomi Malaysia perlu melihat kedua-dua sisi secara seimbang.

Data makro penting untuk mengukur kekuatan ekonomi negara, manakala data mikro pula membantu kita memahami bagaimana pertumbuhan itu diterjemahkan dalam kehidupan rakyat.-UTUSAN

 

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini