Pujukan Erma Fatima buka hati Fouziah Gous kembali berlakon - Utusan Malaysia

Pujukan Erma Fatima buka hati Fouziah Gous kembali berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH lebih sedekad meninggalkan dunia lakonan secara serius, Datin Fouziah Gous tidak pernah menyangka satu panggilan daripada pengarah dan penerbit tersohor, Erma Fatima akhirnya menjadi titik yang menggerakkan hatinya untuk kembali berdiri di hadapan kamera.

Bukan kerana rindu kepada populariti, sebaliknya, kesungguhan Erma meyakinkan dirinya untuk menjayakan drama Cinta Itu membuatkan Fouziah mula mempertimbangkan sesuatu yang selama ini tidak mudah untuk diterimanya.

Menurut Fouziah, keputusan kembali berlakon bukan sesuatu yang dibuat secara spontan kerana dia sendiri dihimpit rasa kurang yakin selepas terlalu lama meninggalkan bidang tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya, saya seperti dipaksa untuk menerima drama ini. Pada mulanya saya menolak kerana sudah lama tidak berlakon. Saya tidak yakin kerana tidak mahu menyusahkan orang.

“Selepas terlalu lama meninggalkan lakonan, kita sendiri tidak tahu tahap kemampuan kita berada di mana. Sejak hari pertama dia telefon, saya nampak kesungguhannya. Dia sangat tegas bahawa dia mahukan saya untuk watak ini.

“Dia kata, dia bukan mahu bagi saya watak yang bodoh. Dia meyakinkan saya bahawa watak dan jalan ceritanya bagus. Dia juga kata semua pelakon yang terlibat bagus. Jadi saya minta masa dan mengambil kira-kira dua atau tiga hari untuk berfikir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bukan sekadar menawarkan watak, kesediaan Erma memahami komitmen Fouziah sebagai ibu dan wanita berkerjaya turut menjadi faktor besar yang membuka hatinya.

“Apa yang membuatkan saya terkejut, dia sangat memahami keadaan saya. Dia tahu saya mempunyai anak kecil. Dia juga memahami saya masih bekerja pada hari biasa. Jadi, jadual penggambaran disusun supaya saya boleh menyelesaikan kerja.

“Sebenarnya bukan saya tidak mahu berlakon, tetapi saya tidak mahu menyusahkan orang kerana saya tahu saya tidak boleh memberikan komitmen masa seperti dahulu.

“Selepas sekian lama tidak menjalani penggambaran, inilah penggambaran paling mudah yang pernah saya lalui. Semuanya sangat lancar dan mengikut jadual. 

“Ada satu hari kami sempat merakamkan sehingga 30 babak dan sebelum Maghrib saya sudah boleh pulang. Saya rasa macam pergi bekerja di pejabat. Keluar rumah pada awal pagi dan sebelum pukul tujuh malam sudah sampai rumah,” kongsinya.

Tidak pernah anggap diri pelakon hebat

Di sebalik pengalaman panjang dan deretan karya yang pernah mengangkat namanya, Fouziah tidak pernah melihat dirinya sebagai seorang pelakon hebat sehingga boleh berdiri sendiri tanpa sokongan pelakon lain.

Sebaliknya, dia mengakui keyakinan dirinya berada pada tahap rendah selepas terlalu lama tidak berlakon, sekali gus menyebabkan gandingan pelakon menjadi antara perkara utama yang dipertimbangkan sebelum menerima Cinta Itu.

“Apabila seseorang meyakinkan saya bahawa saya boleh melakukannya, itu membantu kerana tahap keyakinan diri saya sebenarnya agak rendah. Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang pelakon yang terlalu hebat. 

“Kalau kita hebat, kita boleh berdiri sendiri. Bagi saya, apabila orang memberi keyakinan dan watak itu pula bagus, barulah kita rasa lebih yakin untuk mencuba,” jelasnya.

Tambah Fouziah, kekuatan sesebuah naskhah bukan hanya bergantung kepada watak atau jalan cerita di atas kertas, tetapi turut ditentukan oleh keserasian seluruh pasukan yang menjayakannya.

“Saya pernah mendapat watak yang sangat bagus dan membayangkan cerita itu akan meletup, tetapi akhirnya naskhah itu menjadi cerita biasa sahaja. Mungkin kerana secara keseluruhan pasukan itu tidak memberikan apa yang sepatutnya. 

“Sebaliknya, ada cerita yang mungkin biasa tetapi apabila kita bergandingan dengan pelakon yang hebat, cerita itu boleh menjadi lebih baik. Jadi bagi saya, kita perlukan pasukan yang boleh saling melengkapi. Kalau ada kekurangan saya, orang lain boleh membantu dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Fouziah bagaimanapun tidak mahu meletakkan kemunculannya menerusi Cinta Itu sebagai tanda dia sudah kembali sepenuhnya ke dunia seni, malah mengakui akan terus bersikap selektif terhadap sebarang tawaran selepas ini.

“Saya memang perlu selektif kerana masalah utama saya ialah masa. Kalau bukan kerana kekangan masa, saya sebenarnya okey sahaja untuk berlakon. Saya masih bekerja seperti orang lain. Sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat, saya mempunyai tanggungjawab yang besar dan banyak keputusan perlu dibuat. 

“Untuk saya meninggalkan kerja selama sebulan atau dua memang agak sukar. Kalau orang boleh mudahkan urusan kita seperti produksi ini, saya boleh pertimbangkan. Bagi saya, semuanya adalah rezeki,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini