PETALING JAYA: Seramai 16.77 juta pekerja swasta di negara ini hanya menikmati purata kenaikan gaji RM61.50 setahun sepanjang tempoh 13 tahun sejak dasar gaji minimum dilaksanakan.
Keadaan itu mewajarkan gaji minimum dinaikkan kepada RM3,100 sebulan.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, kadar gaji minimum yang pada asalnya RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah serta Sarawak pada 2013, sebelum meningkat secara berperingkat kepada RM1,700 sebulan mulai Februari 2025.
Katanya, kenaikan tersebut masih rendah berbanding peningkatan kos sara hidup dan kadar inflasi berlaku sepanjang tempoh berkenaan dan memberi tekanan kepada pekerja.
“Peningkatan kadar inflasi sekitar 1.8 hingga 2 peratus pada setiap tahun turut memberi tekanan kepada kuasa beli rakyat apabila kenaikan pendapatan tidak bergerak seiring dengan peningkatan kos kehidupan.
“Malah kita perlu mengambil kira aspek kebajikan dan produktiviti pekerja. Hal ini sepanjang 13 tahun, gaji minimum hanya meningkat daripada RM900 kepada RM1,700, bersamaan kenaikan purata kira-kira RM61.50 setahun.
“Jadi sebarang penetapan kadar gaji minimum baharu perlu dilihat semula khususnya kepada RM3,100 bagi memastikan pendapatan pekerja kekal relevan dengan perubahan ekonomi dan kos sara hidup semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menegaskan cadangan menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM3,100 sebulan adalah tidak munasabah dan tidak praktikal kerana peningkatan itu membabitkan peningkatan kira-kira 82 peratus.
Perkara itu susulan cadangan MTUC agar gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 sebulan dicadang dijadikan sebagai rujukan dalam menetapkan kadar baharu gaji minimum dengan mengambil kira realiti semasa.
Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, majikan sepatutnya telah membuat persediaan menghadapi pelarasan gaji minimum kerana kajian terhadap kadar berkenaan dilaksanakan setiap dua tahun sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang.
Katanya, kebimbangan mengenai penutupan kilang, pengurangan pekerja, kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana serta pemindahan kos kepada pengguna sering dibangkitkan setiap kali kadar gaji minimum dikaji sejak pelaksanaannya pada 2013.
“Pelaksanaan kadar baharu mungkin mengurangkan keuntungan syarikat, namun dalam jangka panjang, pekerja boleh kekal lebih lama dan majikan berpeluang melahirkan modal insan yang berkualiti.
“Kerugian sesebuah syarikat bukan semata-mata disebabkan gaji pekerja, sebaliknya turut dipengaruhi perubahan teknologi, produk yang kurang berkualiti, kekurangan permintaan dan strategi global,” katanya.
Dalam pada itu,Pengarah Unit Sosioekonomi Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Dr. Zouhair Rosli berkata, cadangan kadar gaji minimum RM3,100 itu tidak akan merugikan syarikat kerana majikan ketika ini menerima lebih 60 peratus daripada agihan nilai ekonomi negara.
Katanya, kadar itu sebaliknya dapat memperbaiki ketidakseimbangan agihan pendapatan yang sekian lama tidak memihak kepada golongan pekerja.
Katanya, kedudukan gaji sektor formal, peningkatan produktiviti dan kestabilan pasaran buruh menunjukkan kadar tersebut masih berada dalam lingkungan yang mampu dilaksanakan oleh majikan.
“Gaji penengah pekerja sektor formal meningkat kepada RM3,167 sebulan pada Disember 2025 berbanding RM3,045 dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Ini menunjukkan majikan mempunyai kemampuan membayar gaji lebih tinggi.
“Produktiviti buruh turut meningkat 4.1 peratus kepada RM45.30 sejam pada 2025 berbanding RM43.50 sejam pada 2024 iaitu peningkatan tahunan tertinggi sejak 2020.
“Kadar pengangguran pula berada pada paras tiga peratus, terendah dalam tempoh 10 tahun, menunjukkan kenaikan gaji lebih tinggi tidak akan mengakibatkan pengangguran yang teruk,” katanya.-UTUSAN











