PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) mencatat pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 25 peratus tahun ke tahun kepada RM248.3 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026.
Pertumbuhan itu didorong peningkatan pinjaman secara menyeluruh, pendapatan fi berasaskan pelanggan yang lebih tinggi serta kos kredit bersih yang lebih rendah susulan prestasi kredit dan pemulihan portfolio korporat yang bertambah baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, prestasi suku berkenaan mencerminkan momentum strategi Acceler8 serta keupayaan bank itu mencapai pertumbuhan berkualiti tinggi merentasi segmen teras.
“Dalam persekitaran ketidaktentuan global dan tekanan rantaian bekalan, kami kekal berdaya tahan, disokong asas ekonomi negara yang kukuh.
“Walaupun momentum positif, kami kekal berhati-hati dalam mengharungi persekitaran semasa, sambil terus meningkatkan bahagian pasaran dalam perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pengguna serta mengekalkan momentum dalam francais serantau.
“Ketika memasuki fasa akhir Acceler8, kami terus memberi tumpuan kepada pelaburan berhemat dalam tenaga kerja, teknologi dan keupayaan, memperkukuh hubungan dengan pelanggan serta memberikan nilai jangka panjang yang bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Jumlah hasil bank itu meningkat 2.5 peratus tahun ke tahun dan 6.4 peratus suku ke suku kepada RM630.9 juta, disokong pertumbuhan pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII).
NII turut meningkat 2.5 peratus tahun ke tahun kepada RM511.7 juta, didorong terutamanya jumlah pinjaman yang lebih tinggi, dengan margin faedah bersih (NIM) pada 2.26 peratus.
NOII pula meningkat 2.5 peratus tahun ke tahun kepada RM119.2 juta, disokong peningkatan 46.6 peratus dalam fi pengurusan kekayaan kumpulan dan 75.8 peratus dalam fi perkhidmatan perbankan.
Perbelanjaan operasi meningkat 7.8 peratus tahun ke tahun berikutan pelaburan strategik berterusan dalam teknologi dan bakat menerusi strategi Acceler8.
Susulan itu, nisbah kos kepada pendapatan berada pada 47.4 peratus, dalam julat panduan FY2027 bank berkenaan dan bertambah baik daripada 47.9 peratus pada FY2026.
Beliau berkata, bagi suku itu, pinjaman kasar bank meningkat 8.1 peratus tahun ke tahun kepada RM67.81 bilion, manakala jumlah pinjaman kasar dan bon tidak dinilai meningkat 9.5 peratus kepada RM69.33 bilion, mengatasi pertumbuhan pinjaman industri.
Katanya, pertumbuhan itu merangkumi semua segmen, dengan pinjaman komersial meningkat 19.1 peratus tahun ke tahun, pinjaman korporat dan bon tidak dinilai naik 12.7 peratus, pinjaman pengguna meningkat 7.8 peratus dan pinjaman PKS berkembang 6.4 peratus.
“Jumlah aset meningkat 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM95.8 bilion.
“Deposit pelanggan meningkat 8.4 peratus YoY kepada RM70.5 bilion, manakala bank mengekalkan salah satu nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) tertinggi dalam industri pada 37.7 peratus.
“Kualiti aset kekal terkawal apabila nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) bertambah baik kepada 1.83 peratus daripada 1.96 peratus setahun sebelumnya.
“Kos kredit bersih turut bertambah baik kepada 0.3 mata asas berbanding 14.4 mata asas pada suku itu, didorong pemulihan daripada portfolio korporat,” ujarnya. – UTUSAN











