PKR perlu kukuhkan identiti, buktikan prestasi

PKR perlu kukuhkan identiti, buktikan prestasi

PKR perlu menggabungkan politik identiti berteraskan nilai dengan politik prestasi bagi memperkukuh kepercayaan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PKR  tidak seharusnya melihat politik identiti dan politik prestasi sebagai dua pendekatan yang perlu dipilih salah satu.

Sebaliknya, kedua-duanya perlu digabungkan bagi membina kekuatan parti yang lebih kukuh, jelas dan dekat dengan rakyat.

Politik prestasi penting kerana rakyat mahu melihat hasil sebenar daripada pentadbiran kerajaan, khususnya dalam aspek ekonomi, pendapatan, kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan kebajikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, prestasi semata-mata tidak mencukupi untuk membina keyakinan serta sokongan politik dalam jangka panjang.

Sebuah parti juga memerlukan identiti yang jelas supaya rakyat memahami nilai, prinsip dan perjuangan yang membezakan parti berkenaan daripada pesaingnya.

Dalam konteks PKR, identiti itu tidak semestinya dibina atas sentimen kaum atau agama, sebaliknya berteraskan keadilan, reformasi, demokrasi, keterangkuman dan pembelaan terhadap semua lapisan masyarakat.

Pendekatan berkenaan membolehkan PKR memperjuangkan kepentingan Melayu, Islam dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, pada masa sama memastikan masyarakat Cina, India dan kaum lain turut mendapat keadilan serta peluang yang sewajarnya.

Politik identiti dalam kerangka sedemikian bukan bertujuan memecahbelahkan rakyat, sebaliknya memberikan keyakinan bahawa identiti dan kepentingan setiap kelompok boleh dipelihara dalam kerangka Malaysia yang lebih besar.

Pada masa sama, identiti tersebut perlu dibuktikan melalui prestasi kerana dasar yang baik tidak akan bermakna sekiranya rakyat tidak merasai kesannya dalam kehidupan seharian.

Justeru, pencapaian ekonomi kerajaan perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat, penyediaan pekerjaan berkualiti, kemampuan memiliki rumah, kos pendidikan yang lebih terkawal serta kehidupan yang lebih selesa.

Jika PKR mahu mengajak rakyat menilai kerajaan berdasarkan prestasi, parti juga perlu bersedia menerima penilaian rakyat apabila pencapaian kerajaan tidak memenuhi harapan.

Prestasi bukan sekadar angka ekonomi atau statistik tetapi sejauh mana dasar kerajaan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum ini dalam Kongres Nasional PKR mengingatkan parti supaya tidak terperangkap dalam politik identiti dan perkauman, sebaliknya mengajak rakyat menilai kerajaan berdasarkan prestasi ekonomi dan kebajikan.

Beliau berkata, parti juga tidak seharusnya terikut-ikut dengan pendekatan lawan politik yang menggunakan sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan.

“Cadangan saya ialah jangan bertempur dalam gelanggang politik identiti. Kita fokus kepada politik prestasi dan kemampuan. Jangan terperangkap dalam gelanggang politik identiti.

“Kalau politik perkauman dan politik identiti, tak ada pemenang. Kita harus ajak rakyat untuk nilai berasaskan politik prestasi, prestasi ekonomi, prestasi kebajikan rakyat, cara kita tolong setiap lapisan rakyat,” katanya.

Pendirian itu wajar diteruskan, namun ia tidak bermaksud PKR perlu mengabaikan identiti sendiri kerana sebuah parti tanpa identiti yang jelas juga berdepan risiko kehilangan arah apabila landskap politik berubah dan persaingan antara gabungan semakin sengit.

 

GUNA LAMBANG SENDIRI UNTUK IDENTITI

 

Justeru, PKR perlu berani memperkukuh identitinya sendiri, termasuk mempertimbangkan penggunaan lambang parti dalam pilihan raya akan datang.

Lambang PKR mempunyai sejarah perjuangan yang panjang dan pernah menjadi simbol penting kepada gerakan reformasi.

Penggunaan lambang sendiri pada pilihan raya umum akan datang juga boleh menjadi penegasan bahawa PKR mempunyai identiti, prinsip dan kekuatan politiknya sendiri, selain memberi ruang kepada parti untuk tampil dengan tawaran yang lebih jelas kepada pengundi.

Namun, penggunaan lambang sendiri tidak semestinya bermaksud PKR perlu menolak kerjasama politik.

Sebaliknya, parti masih boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak atas kepentingan negara, tetapi pada masa sama mengekalkan identiti, prinsip dan pendirian sendiri.

Ini penting kerana kerjasama politik yang terlalu dominan berisiko menyebabkan identiti parti menjadi kabur.

Pengundi mungkin mengenali gabungan yang bertanding, tetapi kurang memahami perbezaan gagasan, prinsip dan tawaran setiap parti di dalamnya.

Maka, identiti parti perlu diterjemahkan melalui dasar yang jelas dan prestasi yang boleh diukur.

Jika PKR mahu dikenali sebagai parti yang memperjuangkan keadilan, rakyat perlu melihat nilai itu diterjemahkan dalam peluang ekonomi, sistem pendidikan, perkhidmatan awam, pengagihan pembangunan dan kebajikan.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin turut berpandangan PKR perlu mempertimbangkan penggunaan lambang parti sendiri pada pilihan raya umum akan datang.

“Sudah tiba masanya PKR mempertimbangkan bagi menggunakan panji Keadilan dalam pilihan raya mendatang,” katanya.

Politik identiti berteraskan nilai perlu dibina atas keyakinan untuk merangkul semua pihak, bukannya atas ketakutan terhadap perbezaan.

Pendekatan itu perlu berani ditonjolkan kepada rakyat sebagai asas pembentukan sebuah parti yang mempunyai hala tuju dan masa depan yang jelas.

Sebuah parti yang mahu terus berkembang perlu mempunyai identiti, kekuatan dan keyakinan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada pihak lain.

Sehubungan itu, penggunaan lambang sendiri, iaitu lambang mata yang pernah membawa kemenangan sebelum ini, dilihat sebagai salah satu pilihan yang wajar dipertimbangkan. –UTUSAN

 

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini