NARATHIWAT (THAILAND): Thailand memperluas kawalan keselamatan ke Songkhla dan Satun susulan 77 insiden keganasan yang menggegarkan Narathiwat, Pattani dan Yala dalam tempoh tiga hari sejak malam Sabtu lalu.
Arahan meningkatkan kewaspadaan ke tahap tertinggi itu turut membabitkan gabenor lima wilayah berkenaan ketika pihak berkuasa Thailand bimbang keganasan merebak ke kawasan lain yang turut bersempadan dengan Malaysia.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, gabenor Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun diarahkan memperketatkan kawalan di kawasan berisiko tinggi, melaksanakan pemantauan keselamatan 24 jam serta mempergiatkan risikan secara proaktif.
Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan pergolakan yang berlaku sejak Sabtu lalu tidak merebak ke Songkhla dan Satun.
“Wilayah Satun dan Songkhla juga bersempadan dengan Kedah dan Perlis di Malaysia dan mungkin menjadi pilihan kumpulan bersenjata untuk mewujudkan keadaan tidak tenteram.
“Oleh itu, pihak berkuasa telah mengarahkan gabenor lima wilayah iaitu Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun untuk meningkatkan kewaspadaan ke tahap tertinggi mulai semalam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau berkata, semua pihak berkuasa di lima wilayah terbabit turut diarah mengintegrasikan operasi secara rapat dan teliti dengan semua sektor berkaitan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Katanya, beberapa langkah penting sedang dilaksanakan bagi menghalang insiden daripada terus berulang, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi. – UTUSAN











