Syed Azman, Ayob Khan dinobat Tokoh Maulidur Rasul 2026

Syed Azman, Ayob Khan dinobat Tokoh Maulidur Rasul 2026

ANWAR Ibrahim menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kategori Tokoh Wira Negara kepada Ayob Khan Mydin Pitchay pada Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim dinobatkan sebagai Tokoh Perdana bersempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448/2026.

Anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan berkenaan yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, semalam.

Syed Azman berkata, penganugerahan tersebut suatu yang besar kepada dirinya sekali gus mengucapkan penghargaan kepada kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sampai sekarang macam tak percaya, masa mula-mula Datuk KP (Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) secara peribadi menyerahkan surat. Saya ucapkan terima kasih,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, semalam.

Antara sumbangan Syed Azman dalam industri penerbangan adalah pencapaian Weststar dalam menyediakan lebih 40 helikopter untuk operasi minyak dan gas, menjadikan media tempatan dan antarabangsa merujuk Syed Azman sebagai ‘Raja Helikopter Malaysia’.

Gelaran ini mencerminkan dominasi beliau dalam sektor penerbangan sokongan tenaga, serta kedudukan Weststar sebagai penyedia utama di rantau Asia Pasifik.

Walaupun sering dikaitkan dengan kekayaan dan pengaruh korporat, Syed Azman tetap mengekalkan imej sebagai pemimpin rendah diri serta berhati-hati dalam memberi kenyataan media, selaras dengan latar ketenteraannya yang menekankan kerahsiaan dan urusan strategik.

Sementara itu, penerima anugerah Tokoh Wira Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beliau mahu kekal aktif untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

“Saya yakin saya perlu untuk aktif semula, tidak kira dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat ataupun penulisan sebab saya minat menulis kan.

“Hari itu pun ada lancarkan buku, selepas ini ada buku yang lagi terperinci berkenaan operasi yang lepas yang boleh saya kongsikan, insya-Allah,” katanya.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata, beliau tidak menyangka dirinya akan dipilih sebagai penerima anugerah tersebut.

“Ini satu pengiktirafan bukan untuk saya sahaja, tetapi untuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pada sumbangan kami.

“Saya pun sebenarnya tidak sangka dipilih sebab banyak lagi wira-wira yang kita ada dekat luar kan, yang pernah bertempur dengan komunis dahulu. Apa-apa pun, saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Penerima anugerah Tokoh Agamawan, Maulana Abdul Hamid Chin pula berkata, pengiktirafan kerajaan Malaysia dan Jakim itu merupakan suntikan semangat kepadanya untuk terus berdakwah.

“Ia memberi satu suntikan semangat kepada saya dan teman-teman yang sama sealiran yang mengendalikan madrasah-madrasah, sibuk dalam urusan dakwah.

“Dan berkhidmat dalam menghapuskan kejahilan di kalangan ummah yang menjadi penyumbang utama kemurtadan yang semakin berleluasa di negara kita dan juga di seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, penerima anugerah Tokoh Wanita Madani, Prof Dr.Ruzita Mohd Amin berkata, pengikirafan diterimanya itu turut mewakili komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dan wanita.

“Satu sunnah Rasulullah yang kadang-kadang kita sering terlupakan, di mana-mana sekarang ni kita lihat golongan OKU sering dipinggirkan, digelarkan golongan terpinggir, golongan rentan dan sebagainya.

“Jadi saya rasa usaha Jakim sangat bertepatan untuk mengangkat semula sunnah Rasulullah SAW ini, ia mencontohi dan menunjukkan betapa Islam menunjukkan contoh yang terbaik.

“Setiap orang ada karamah insaniah walau mereka OKU atau wanita. Harap masjid-masjid dan majikan lebih terbuka kepada individu OKU,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini