NIBONG TEBAL : Bekas Setiausaha Kerajaan (SUK), Datuk Seri Zulkifli Long dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang dalam satu majlis sambutan yang diadakan di Jawi di sini, hari ini.
Selaku penerima anugerah, Zulkifli membawa pulang trofi, sijil penghargaan serta wang tunai berjumlah RM7,000.
Zulkifli yang baru sahaja menamatkan perkhidmatannya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang awal bulan ini berkata, sebagai seorang yang berjiwa pentadbir, apa yang beliau lakukan selama ini ialah berusaha untuk memudahkan kehidupan rakyat hampir setiap hari.
“Jadi, walaupun saya tidak lagi bertugas (sebagai SUK), tetapi, insya-Allah saya akan sentiasa ‘mencuri’ masa untuk memberikan pandangan atau apa-apa bantuan seandainya diperlukan berdasarkan pengalaman saya berkhidmat selama 34 tahun dalam kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Pada majlis yang sama, Pengarah Urusan RCAB Food Venture Sdn. Bhd., Rohaya Che Abu Bakar menerima anugerah Qudwatur Rasul (Usahawan) manakala anugerah Qudwatur Rasul (Saudara Kita) pula diberikan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Adam Abdullah.
Turut menerima anugerah pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai (Penyelidik) Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang Mohd Salmi Shaimi dipilih sebagai penerima Qudwatur Rasul (Khas).
Terdahulu, Tun Ramli ketika berucap sempena majlis itu menggesa pemimpin di semua peringkat agar mengutamakan pendekatan mendamaikan dan meredakan ketegangan dan bukannya mencetuskan permusuhan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, teladan itu dapat dilihat menerusi kepimpinan Rasulullah S.A.W yang menunjukkan betapa pentingnya kebijaksanaan dalam menangani atau mencari sebarang jalan penyelesaian yang adil tanpa merendahkan pihak yang lain.-UTUSAN











