ALOR SETAR: Bekas Mufti Kedah, Datuk Hasbullah Abdul Halim dipilih menerima Anugerah Khas sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah 1448H/2026M.
Penyampaian anugerah disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada majlis yang berlangsung di Wisma Darul Aman, di sini.
Anak kelahiran Kuah, Langkawi berusia 85 tahun itu menerima hadiah wang tunai RM7,000 beserta plak.
Hasbullah juga merupakan Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah yang pertama dilantik ke jawatan itu pada 1997, selain pernah menjadi Setiausaha Baitulmal dan Wakaf Negeri Kedah.
Beliau juga merupakan bekas Kadi Daerah Kuala Muda pada 1981 dan Timbalan Kadi Besar Kedah Selatan pada 1984, selain bekas Pegawai Pendakwa Syarie serta Kadi Daerah Yan dan Sik.
Menurut Hasbullah, beliau berharap anugerah itu menjadi semangat dan inspirasi kepada generasi-generasi akan datang untuk bekerja bersama-sama bagi meningkatkan syiar Islam di Kedah.
“Kita mesti berada dalam satu jemaah agar kita dapat jauhkan daripada perkara-perkara negatif yang boleh membawa kepada sengketa ataupun perpecahan sesama kita.
“Umat Islam perlu menjadi contoh kepada orang lain. Kalau kita yang terbaik, insya-Allah dengan akhlak dan peribadi kita yang unggul, kita tidak perlu berdakwah dengan bersyarah panjang lebar, tapi kita tunjuk satu keperibadian kita yang itulah asasnya untuk meningkatkan perpaduan sesama kita,” katanya.
Sementara itu, Sultan Kedah turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Imam kepada Imam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jame’ As-Shahab Kepala Batas, Che Ismail Bakar, 78. – UTUSAN











