Merdeka daripada rasuah

Merdeka daripada rasuah

PATRIOTISME bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau melaungkan “Merdeka!” tetapi turut berani menolak rasuah dan mempertahankan amanah negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG sambutan Hari Kebangsaan, persoalan mengenai semangat patriotisme kembali menjadi perhatian. Jalur Gemilang mula dikibarkan, lagu-lagu patriotik kembali berkumandang dan pelbagai program kenegaraan dianjurkan. 

Namun Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan patriotisme pada hari ini perlu diberikan pengertian yang lebih besar daripada sekadar simbol, slogan dan sambutan tahunan.

Bagi MCW, antara manifestasi patriotisme paling penting pada zaman ini ialah keberanian rakyat Malaysia menolak rasuah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atas semangat tersebut, MCW mencadangkan supaya ‘Kami Antirasuah diangkat sebagai antara tema besar semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

Mengapa antirasuah perlu dikaitkan dengan patriotisme? 

Jawapannya mudah. Rasuah bukan sekadar kesalahan individu menerima atau memberikan suapan. Rasuah merampas sumber negara, melemahkan institusi, meningkatkan kos pembangunan, merosakkan sistem penyampaian awam, menghakis kepercayaan rakyat dan akhirnya mengancam masa hadapan generasi akan datang.

Apabila wang yang sepatutnya digunakan untuk sekolah, hospital, pengangkutan awam, perumahan rakyat atau pembangunan masyarakat bocor akibat rasuah, yang menjadi mangsa ialah rakyat dan negara.

Justeru, melawan rasuah adalah tindakan mempertahankan Malaysia.

 

PATRIOTISME BUKAN SEKADAR MENGIBARKAN BENDERA

Mengibarkan Jalur Gemilang adalah simbol kecintaan kepada negara yang wajar diteruskan. Berdiri menghormati Negaraku juga merupakan manifestasi penghormatan terhadap tanah air.

Tetapi patriotisme tidak boleh berhenti di situ.

Apakah maknanya kita mengibarkan Jalur Gemilang tetapi pada masa sama membiarkan ketirisan berlaku? Apakah maknanya kita melaungkan “Merdeka!” tetapi masih menganggap pemberian ‘wang kopi’ sebagai perkara biasa? Apakah maknanya kita bercakap mengenai cinta kepada Malaysia tetapi sanggup menggunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi, keluarga atau kelompok tertentu?

Kemerdekaan sebenar perlu merangkumi kebebasan negara daripada budaya rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan ketirisan.

Generasi terdahulu mempertahankan tanah air daripada penjajahan. Generasi hari ini pula mempunyai tanggungjawab mempertahankan negara daripada segala bentuk kerosakan dari dalam.

Antara musuh tersebut ialah rasuah dan sebab itulah MCW sejak sekian lama membawa mesej, rasuah musuh nombor satu negara.

Musuh negara tidak semestinya datang membawa senjata. Ada musuh yang hadir melalui transaksi tersembunyi, konflik kepentingan, penyalahgunaan kuasa, manipulasi tender, penyelewengan dana awam dan budaya berdiam diri apabila mengetahui sesuatu kesalahan berlaku.

 

KAMI ANTIRASUAH SEBAGAI IKRAR KEBANGSAAN

MCW melihat ungkapan “Kami Antirasuah” bukan sekadar slogan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sebaliknya menjadi satu pengakuan moral rakyat Malaysia.

Kami antirasuah bermaksud kita tidak memberi rasuah.

Kami antirasuah bermaksud kita tidak menerima rasuah.

Kami antirasuah bermaksud kita tidak menjadi orang tengah kepada rasuah.

Kami antirasuah bermaksud kita tidak menyalahgunakan jawatan dan kuasa.

Dan yang paling penting, kami antirasuah bermaksud kita tidak berdiam diri apabila mengetahui penyelewengan berlaku.

Bayangkan sekiranya semangat ini digerakkan sepanjang Bulan Kebangsaan di sekolah, universiti, pejabat kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, sektor korporat, persatuan penduduk, NGO dan komuniti.

Di samping Jalur Gemilang, kita membawa mesej integriti.

Di samping nyanyian lagu patriotik, kita berbicara tentang amanah.

Di samping mengenang perjuangan kemerdekaan, kita mendidik generasi baharu mengenai bahaya rasuah.

Dengan pendekatan tersebut, sambutan Hari Kebangsaan tidak sekadar bersifat seremonial tetapi menjadi gerakan pendidikan nilai secara nasional.

 

CINTAKAN NEGARA BERERTI MENJAGA WANG NEGARA

Setiap ringgit wang awam mempunyai nilai amanah. Wang kerajaan bukan ‘wang kerajaan’ dalam pengertian boleh dibelanjakan sesuka hati oleh mereka yang berkuasa. Sebahagian besarnya datang daripada rakyat melalui cukai, hasil negara dan sumber ekonomi yang menjadi milik bersama.

Sebab itu rakyat mempunyai hak untuk bertanya bagaimana wang tersebut dibelanjakan.

Pegawai kerajaan yang menolak suapan ialah seorang patriot.

Penjawat awam yang mempertahankan prosedur walaupun ditekan oleh pihak berkepentingan ialah seorang patriot.

Wartawan yang membongkar penyelewengan ialah seorang patriot.

Pemberi maklumat yang berani tampil dengan bukti ialah seorang patriot.

Pegawai penguat kuasa yang menyiasat tanpa takut atau pilih kasih juga sedang menjalankan tanggungjawab patriotiknya.

Begitu juga rakyat biasa yang menolak untuk membayar ‘duit kopi’.

Patriotisme abad ke-21 mesti merangkumi keberanian mempertahankan integriti institusi negara.

 

JANGAN POLITIKKAN PERJUANGAN ANTIRASUAH

Dalam masa sama, perjuangan antirasuah tidak boleh menjadi senjata politik bermusim.

Apabila lawan politik disiasat, kita melaungkan sokongan kepada penguatkuasaan. Apabila individu daripada kelompok sendiri disiasat, kita mula mempertikaikan institusi.

Sikap seperti ini perlu dihentikan.

Prinsip antirasuah mestilah konsisten.

Salah tetap salah. Rasuah tetap rasuah. Siapa pun pelakunya.

Kerajaan datang dan pergi. Parti politik menang dan kalah. Pemimpin silih berganti tetapi institusi negara mesti kekal kukuh.

Sebab itu MCW konsisten memperjuangkan pembaharuan institusi yang mampu memperkukuhkan sistem semak dan imbang, ketelusan, perlindungan pemberi maklumat, pembiayaan politik yang lebih telus, perolehan kerajaan yang berintegriti serta akauntabiliti terhadap mereka yang memegang kuasa.

Perjuangan antirasuah bukan perjuangan menentang mana-mana kerajaan.

Ia adalah perjuangan mempertahankan Malaysia.

 

DARI BULAN KEBANGSAAN KEPADA GERAKAN NASIONAL

MCW mencadangkan agar Bulan Kebangsaan turut menjadi medan pendidikan integriti secara besar-besaran.

Sekolah dan universiti boleh mengadakan debat, pidato, pertandingan video serta program kesedaran mengenai rasuah. Agensi kerajaan boleh memperkukuhkan ikrar integriti dan pendidikan mengenai konflik kepentingan. Sektor korporat pula boleh melaksanakan kempen antirasuah bersama pekerja dan rakan niaga.

NGO, media dan masyarakat sivil boleh membawa perbincangan mengenai integriti lebih dekat kepada rakyat.

Namun semuanya tidak boleh berakhir pada 31 Ogos.

Matlamat akhirnya ialah membina masyarakat yang mempunyai intoleransi terhadap rasuah dengan tidak lagi mentertawakan ‘duit kopi’, tidak menganggap salah guna kuasa sebagai kebijaksanaan politik dan tidak memuja kekayaan luar biasa tanpa bertanya dari mana sumbernya.

Kita perlu menjadikan integriti sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia.

 

MERDEKAKAN MALAYSIA DARIPADA RASUAH

Pada setiap Hari Kebangsaan, kita mengenang pengorbanan generasi terdahulu yang memungkinkan kita menikmati sebuah negara merdeka.

Persoalannya sekarang ialah apakah Malaysia yang akan kita wariskan kepada generasi selepas kita?

Negara yang kaya tetapi bocor?

Negara yang mempunyai undang-undang tetapi lemah pelaksanaannya?

Atau sebuah Malaysia yang berani, telus, berintegriti dan tidak berkompromi terhadap rasuah?

MCW memilih yang terakhir.

Sebab itulah semangat Hari Kebangsaan tahun ini perlu bergerak daripada sekadar “Saya Sayang Malaysia” kepada satu tanggungjawab yang lebih tegas:

“Saya sayang Malaysia, maka saya menolak rasuah.”

Kita kibarkan Jalur Gemilang dengan bangga. Kita nyanyikan Negaraku dengan penuh jiwa. Kita kenang jasa pejuang kemerdekaan dengan penuh penghormatan.

Tetapi selepas semuanya selesai, buktikan kecintaan itu melalui tindakan.

Jangan beri rasuah.

Jangan terima rasuah.

Jangan lindungi perasuah.

Jangan salahgunakan kuasa.

Jangan takut mempertahankan kebenaran.

Inilah patriotisme yang Malaysia perlukan.

Bukan kerana kita membenci negara tetapi kerana kita terlalu menyayangi negara ini untuk membiarkannya dirosakkan oleh rasuah.

Selamat Hari Kebangsaan. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini