POLITIK Malaysia hari ini bukan lagi soal siapa kawan dan siapa lawan, sebaliknya siapa mampu membaca perubahan tanpa kehilangan arah.
Dalam landskap yang semakin cair, pakatan boleh berubah, musuh politik boleh menjadi rakan dan perbezaan pendapat tidak semestinya berakhir dengan permusuhan.
Ini berlaku apabila Barisan Nasional (BN) memilih pendekatan berbeza mengikut keadaan, bersama Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan, bergerak sendiri di Johor dan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.
Bagi sesetengah penyokong, langkah itu mungkin mengelirukan.
Namun bagi DATUK DR. ARMAND AZHA ABU HANIFAH, inilah realiti politik baharu yang menuntut keberanian untuk berubah.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau memberitahu politik, menurut pendekatan ini, perlu anjal pada strategi tetapi pejal terhadap prinsip.
Dalam temu bual yang turut disertai jurugambar, M. FIRDAUS M. JOHARI, Ketua UMNO Bahagian Subang itu turut mengupas secara terus terang perubahan landskap politik negara, masa depan UMNO, kerjasama dengan PH dan PN, kelemahan komunikasi parti serta keperluan mendidik akar umbi mengenai politik baharu.
UTUSAN : Bagaimana Datuk melihat politik negara hari ini?
ARMAND AZHA : Politik tidak lagi boleh bersifat statik. Ia perlu anjal tetapi pada masa sama pejal pada prinsip. Dalam perjalanan politik, kita tidak boleh mengubah asas serta perjuangan parti.
Kita kekal dengan pendirian tersebut. Dalam apa jua keadaan, prinsip tidak boleh ditukar. Namun, pendekatan politik perlu disesuaikan dengan situasi, landskap dan keadaan semasa tanpa mengorbankan pegangan yang menjadi tunjang perjuangan.
Kalau UMNO terus berpegang kepada pendekatan lama tanpa ruang untuk menyesuaikan diri, parti akan semakin tidak relevan. Kalau mahu menjadi kuasa politik, kita mesti kekal relevan dengan perubahan zaman.
Sebab itu, parti perlu menjaga keseimbangan antara pengalaman kepimpinan terdahulu dengan kemunculan generasi baharu. Organisasi ini sudah melalui perjalanan yang panjang dan zaman juga banyak berubah.
Jadi, saya beritahu UMNO supaya berani melakukan transformasi politik yang berbeza. Saya sudah menyuarakan perkara ini sejak lima atau enam tahun lalu.
Kenapa kita perlu takut untuk memberitahu masyarakat yang politik semasa sudah berubah? Kita perlu menerima hakikat pendekatan yang sesuai pada masa lalu tidak semestinya berkesan untuk menghadapi cabaran hari ini.
Keanjalan itu sudah dibuktikan di peringkat pusat apabila UMNO/BN bersama PH, manakala di Johor kita berdiri sendiri dan di Negeri Sembilan pula kita bekerjasama dengan PN.
Ini menunjukkan pendekatan boleh berbeza mengikut keadaan tetapi asas perjuangan tetap menjadi pegangan.
Tidakkah rakyat, khususnya penyokong UMNO, akan keliru apabila pendirian parti dilihat berubah-ubah, sekejap bersama PH dan sekejap pula bekerjasama dengan PN?
Sebenarnya, UMNO secara jujur menjelaskan inilah prinsip perjuangan dan pendirian kita. Kita beritahu dari awal, bukannya apabila sampai saat akhir baru kita katakan, “Okey, kita tidak kawan.”
Contohnya, pendirian UMNO untuk bertanding solo di Johor sudah dimaklumkan lebih awal. Kita juga beritahu mahu bertanding di semua kerusi kerana parti masih mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh di negeri itu. Maknanya, kita tidak pernah membuat keputusan secara senyap.
Cuma dalam politik semasa, tidak ramai yang berani bercakap tentang perkara ini. Kalau mahu bercakap tentang reformasi, kita sedang melakukannya. Kalau mahu bercakap tentang politik baharu, UMNO sedang melaksanakannya.
Masalahnya, masyarakat tidak nampak kerana penerangan yang diberikan belum cukup jelas. Sebab itu, perkara ini perlu diterangkan kepada umum, termasuk rakyat dan akar umbi.
Inilah yang kita maksudkan dengan politik anjal dan pejal. Kita tidak meninggalkan kubu kuat sendiri dan tidak menggadaikan asas perjuangan.
Dalam suasana baharu, kita menyesuaikan pendekatan tanpa meninggalkan pendirian. UMNO sudah membuktikannya melalui tindakan, sama ada rakyat melihatnya atau tidak. Yang penting, kita terus melaksanakannya.
Datuk menyifatkan UMNO sebagai pembawa reformasi sebenar. Apakah bukti paling jelas yang menunjukkan perubahan itu benar-benar berlaku, bukan sekadar retorik politik?
Reformasi itu sedang bermula. Antaranya dengan memaafkan pemimpin yang pernah tersasar dalam perjuangan dan membuka ruang kepada mereka untuk kembali bersama dalam konsep ‘Rumah Bangsa’.
Itulah antara perubahan pertama. Yang kedua, kita membawa pendekatan politik yang lebih terbuka dalam menghadapi perbezaan pandangan. Berbeza pendapat tidak semestinya bermakna kita perlu bermusuh.
Di peringkat pusat, kalau ada perkara yang memerlukan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kita sokong tetapi di negeri, tidak semestinya keadaan memerlukan kerjasama yang sama.
Perkara seperti ini masih sukar diterima oleh sebahagian masyarakat Malaysia, sedangkan di beberapa negara lain, pendekatan sedemikian sudah menjadi sebahagian daripada amalan politik.
Jadi, sama ada orang faham atau tidak, UMNO sudah memulakan satu bentuk pembaharuan yang melangkaui pemikiran politik tradisional.
Begitu juga dalam soal salah laku. Kalau ada dakwaan serius, tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), jalankan siasatan dan bawa ke mahkamah. Kalau dahulu mungkin ada kecenderungan untuk melindungi, sekarang tidak lagi.
Kita berkata kepada Perdana Menteri, namakan pihak yang bertanggungjawab dan buktikan melalui proses undang-undang. Seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi kesalahan belum dibuktikan di mahkamah.
Kalau benar ada pihak yang bertanggungjawab, bawa kepada proses perundangan, lakukan pendakwaan dan berikan hak kepada individu terbabit untuk membela diri.
Sehingga keputusan mahkamah dibuat, jangan kaitkan kesalahan individu dengan keseluruhan parti. Parti politik berdiri atas perlembagaan dan institusi. Kalau berlaku kesalahan atau kekhilafan, ia melibatkan individu.
Kita perlu membezakan antara tindakan seseorang dengan pendirian sebuah parti. Itulah antara perkara yang saya maksudkan sebagai reformasi politik.
Maksud Datuk, sebenarnya bukan PH yang membawa reformasi politik seperti yang selama ini difahami rakyat?
Kalau kita mahu bercakap tentang reformasi sebenar, kita perlu kembali kepada zaman sebelum Perdana Menteri ke-10.
Pada zaman Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semua ahli Parlimen mendapat peruntukan yang setara.
Ketika itu, kita berkongsi kuasa dengan PN tetapi pada masa sama tidak mengetepikan pembangkang. Dalam keadaan politik ketika itu, tindakan berani kita ialah memberikan peruntukan kepada semua ahli Parlimen.
Itulah antara reformasi yang gagal dilihat oleh ramai pihak. Kalau mahu melihat contoh awal reformasi, kita sudah melaksanakannya di Parlimen.
Perkara itu pula masih belum dilaksanakan oleh kerajaan hari ini. Apa yang dilakukan Ismail Sabri bersama pimpinan UMNO ketika itu sebenarnya selari dengan perkara yang kini sering disebut sebagai agenda reformasi.
Selepas kehilangan kuasa pun, kita tetap memastikan urusan dan gerak kerja Parlimen diteruskan.
Hari ini, orang yang sering bercakap tentang reformasi pula berdepan kritikan daripada pemimpin dalam kelompok sendiri kerana menganggap perubahan yang dijanjikan belum dilaksanakan seperti yang diharapkan.
Kalau kita lihat audio siar dan kenyataan mereka, kritikan itu bukan datang daripada UMNO atau PN. Mereka sendiri mempertikaikan kepimpinan kerana merasakan agenda tersebut belum terlaksana.
Ini bukan dakwaan pemimpin UMNO. Mereka sendiri yang menyuarakannya.
Ada dalam kalangan mereka yang kecewa sehingga mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan kerana merasakan amanah kepada pengundi tidak dapat ditunaikan. Mereka mahu membetulkan kesilapan kerana sebelum ini benar-benar percaya kepada agenda reformasi.
Sebaliknya, UMNO meneruskan perubahan politik berdasarkan realiti dan keperluan semasa.
Kita memerlukan kuasa untuk mempertahankan matlamat perjuangan. Sebab itu, kita minta akar umbi percaya kepada keputusan parti kerana UMNO tidak akan meninggalkan asas perjuangannya.
Namun, kalau kita hanya menggunakan pendekatan lama tanpa menyesuaikan diri dengan perubahan politik, kita berisiko kehilangan kuasa. Apabila hilang kuasa, ruang untuk mempertahankan perjuangan juga menjadi semakin sempit.
Sebab itu, perubahan yang sedang dilakukan UMNO mungkin kelihatan pelik kepada sesetengah pihak. Tetapi kita sebenarnya sedang membaca perubahan politik dan menyesuaikan diri dengannya.
Bagaimana mahu fahamkan perkara ini kepada penyokong?
Sebab itu, apabila turun berceramah, saya tidak mengambil pendekatan untuk memaki pihak lawan. Saya juga tidak memilih untuk menyerang rakan politik.
Sebaliknya, kita terangkan ini ialah politik baharu yang memerlukan pemikiran lebih matang. Kita harap penyokong bersabar dan tenang kerana pada akhirnya kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kita mahu melihat parti bergerak sebagai sebuah institusi yang kukuh atau berpecah hanya kerana perbezaan pandangan?
Sekarang ini kita minta mereka bersabar. Berikan ruang kepada kepimpinan untuk membuat keputusan yang terbaik demi kesejahteraan parti dan memastikan UMNO terus relevan.
Dalam keadaan PH dan PN saling berdepan masalah dalaman, adakah UMNO kini berada dalam momentum yang lebih baik?
Kita kena lihat kembali Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15. Kekalahan UMNO banyak berpunca daripada perpecahan dalaman.
Dalam PRU14, berlaku konflik dan perebutan kuasa dalam kepimpinan parti. Saya sendiri pernah mengemukakan usaha perdamaian tetapi tidak menjadi kenyataan. Akibat perpecahan itu, UMNO diuji dengan kekalahan buat kali pertama.
Kemudian berlaku sekali lagi perbalahan dalaman antara Ismail Sabri dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sekali lagi kita kalah dengan begitu teruk sehingga BN hanya tinggal 30 kerusi.
Kita tidak kecewa, sebaliknya bangkit semula. Selepas PRU15, kita melakukan perubahan melalui mobilisasi dan gerak kerja.
Kini parti sudah lebih stabil. Tidak ada lagi kem atau kumpulan yang bergerak dengan hala tuju berbeza. Presiden UMNO juga memanggil semula pemimpin yang pernah tersasar sebelum dan selepas PRU15 untuk kembali kepada konsep ‘Rumah Bangsa’.
Ketika PN dan PH berdepan masalah dalaman, UMNO pula terus bergerak. Kita sudah mengumumkan calon dan pendirian itu tidak berubah.
Dalam tempoh dua tahun setengah ini, UMNO sedang membaiki kapal yang sebelum ini hampir karam. Kita membaikinya sedikit demi sedikit.
Kapal yang dahulu hampir tenggelam kini sudah kembali berlayar dan keluar daripada gelora. Keadaannya semakin baik, sedangkan beberapa parti yang dahulu kelihatan kukuh kini mula berdepan masalah dalaman.
Adakah Datuk mahu katakan ‘kapal’ PH pula semakin bocor?
Kalau dibuat pengiraan, kedudukan mereka sebenarnya sudah rapuh, mereka sudah hilang majoriti apabila ada ahli Parlimen yang keluar dan tidak lagi menyokong kerajaan. Mereka masih kekal kerana sokongan UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Jangan salahkan UMNO. UMNO tidak keluar. Kita masih berada di situ.
Rakyat kadang-kadang hanya melihat angka besar, termasuk angka dua pertiga tetapi perlu faham dari mana datangnya angka tersebut. Sokongan itu turut datang daripada UMNO dan GPS.
Sebab itu, kita perlu melihat angka asal terlebih dahulu. Apabila sokongan berubah, kedudukan kerajaan juga berubah.
Jika PH gagal melakukan reformasi, mengapa BN masih kekal dalam kerajaan?
Sebab itu kita katakan, politik anjal dan pejal ialah pendekatan baharu yang perlu difahami keluarga UMNO, termasuk rakyat.
Kita perlu menerima inilah realiti politik semasa. Pendekatan politik tidak boleh lagi bergantung kepada cara lama.
Bagi UMNO, pendekatan ini menjadi antara arah tuju untuk kembali menjadi parti dominan dalam menghadapi PRU16.
Lagipun selagi mereka tidak melanggar garis merah ditetapkan UMNO, jadi tiada masalah bekerjasama tetapi jika mereka lakukan, kita tidak teragak-agak menarik sokongan dan terus menjadi lawan.
Sempatkah UMNO menjelaskan pendekatan ini kepada rakyat sebelum PRU16?
UMNO mempunyai struktur politik yang sangat tersusun, daripada pusat, negeri, bahagian hingga cawangan. Banyak parti cuba meniru struktur ini tetapi tidak semua mampu membina kekuatan akar umbi yang sama.
Apabila kita bekerjasama dengan PH, penerangan dibuat secara berperingkat dari pusat hingga ke bawah. Sebab itu, walaupun ada yang sukar menerima, kita masih mempunyai ruang untuk menjelaskan rasional keputusan tersebut.
Bagaimanapun, kita tidak boleh nafikan menerangkan kerjasama dengan PH jauh lebih mencabar berbanding dengan PN.
Sebab itu saya selalu kata, kita perlu kembali kepada asas, iaitu perlembagaan parti. Jangan lihat sesuatu berdasarkan bangsa atau retorik pemimpin semata-mata. Lihat prinsip dan dasar parti.
Kita bukan menentang DAP kerana mereka orang Cina. Kita melihat perbezaan berdasarkan prinsip dan dasar yang perlu dijelaskan kepada rakyat.
Begitu juga dengan Pas. Ada titik persamaan yang memudahkan keserasian tetapi apabila tiba pilihan raya tetap ada soal pembahagian kerusi dan kepentingan masing-masing. Perundingan tetap diperlukan.
Sebab itu UMNO perlu memperkemas penerangan kepada akar umbi. Mereka dahagakan maklumat dan mahu tahu hala tuju parti serta sebab UMNO mengambil pendekatan seperti sekarang.
Kita perlu menjelaskan keanjalan bukan bermaksud meninggalkan perjuangan. Kita menyesuaikan langkah mengikut keadaan supaya parti terus mempunyai ruang untuk bergerak.
Kalau akar umbi memahami pendekatan ini, saya yakin UMNO mampu kekal sebagai kuasa politik untuk tempoh yang panjang.
Masalahnya, politik Malaysia hari ini masih kuat dipengaruhi emosi. Apabila pemimpin mengeluarkan kenyataan yang menghina, mencerca atau menyentuh perkara sensitif, ia mudah membangkitkan kemarahan penyokong.
Dalam keadaan seperti ini, tugas kita bukan menambah emosi tetapi menerangkan realiti politik dengan lebih matang supaya rakyat faham perbezaan pendapat tidak semestinya membawa kepada permusuhan. –UTUSAN











