PUTRAJAYA: Penampilan khas anggota dan aset ketenteraan Askar Timbalan Setia Negeri Johor atau JMF adalah antara kelainan bakal dibawa pada perarakan sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya difahamkan seramai 100 anggota JMF akan menyertai perarakan sambutan itu.
“Kita ada kelainan termasuk juga pasukan JMF dari Johor. Jadi mereka akan turut serta dengan aset-aset dan pasukan seramai 100 orang,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan ‘human grafic’ di sini, semalam.
Selain itu, katanya, antara kelainan lain termasuk pameran statik aset pertahanan yang akan dipamerkan di Dataran Floria dan Monumen Alaf Baru.
Fahmi berkata, tahun ini pihaknya akan pamerkan aset-aset secara statik di mana orang ramai berpeluang menyentuh dan menaiki aset berkenaan.
“Jadi ada lokasi yang mana aset-aset ini diletakkan sepanjang masa. Jadi bagi pengunjung mereka boleh datang menikmati melihat sendiri dengan dekat pada jarak dekat aset-aset ketenteraan, kepolisian dan sebagainya.
“Ini berbeza berbanding tahun-tahun lalu. Kita juga ada banyak float (perarakan kereta berhias) dan banyak kontinjen pada tahun ini. Salah satu yang saya rasa mungkin kelainannya pada tahun ini,” katanya.
Ditanya tahap persiapan sambutan setakat ini, Fahmi berkata, setakat ini, persiapan sudah melepasi 70 peratus.
“Selepas ini, kita akan melihat kerja-kerja pemasangan tangga kambing serta persiapan di Royal Box yang masih dalam proses.
“Berdasarkan perkembangan semasa, saya menjangkakan tahap persediaan akan mencapai antara 80 hingga 90 peratus dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Secara keseluruhannya, segala perancangan berjalan mengikut jadual dan pihak terlibat sedang giat menyiapkan komponen-komponen terakhir bagi memastikan kelancaran program yang telah dirancang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dan akan beroperasi selama 24 jam pada 30 dan 31 Ogos bagi membolehkan orang ramai merancang perjalanan dengan lebih baik ke lokasi sambutan. – UTUSAN










