Meneladani Rasul, menyatukan ummah

Meneladani Rasul, menyatukan ummah

MAULIDUR Rasul bukan sekadar mengenang kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad tetapi menjadi ruang untuk kita meneladani akhlak, amanah, keadilan dan kasih sayang baginda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA hari ini semakin kompleks dan mencabar. Pembinaan negara yang aman dan makmur bukan sahaja bergantung pada kemajuan ekonomi serta kecanggihan teknologi. 

Malah turut memerlukan usaha membentuk masyarakat yang kukuh pegangan agamanya, menjunjung nilai perpaduan dan keadilan, menghormati kepelbagaian agama serta kaum dan memiliki semangat cinta tanah air.

Justeru, tema ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati’ sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini amat bertepatan untuk dijadikan pedoman bersama dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan Malaysia.

Konsep madani tidak seharusnya berhenti sebagai slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian. 

Nilai adab, ihsan, ilmu, integriti, amanah dan saling menghormati perlu dihayati sehingga menjadi budaya dalam masyarakat, selaras dengan ajaran Rasulullah. Pengamalan nilai tersebut secara konsisten mampu melahirkan masyarakat yang matang, dinamik, berakhlak dan sentiasa bersedia menyumbang kepada agama, bangsa serta negara.

‘Madani dihayati’ membawa maksud nilai-nilai murni bukan sekadar diketahui dan difahami tetapi diterapkan dalam pemikiran, pertuturan serta tindakan. 

‘Ummah diberkati’ pula menggambarkan hasil daripada penghayatan itu, iaitu terbentuknya masyarakat yang aman, harmoni, bersatu padu, saling menghormati dan membantu serta sentiasa mengharapkan rahmat dan keberkatan Allah SWT.

Kekuatan sesebuah negara tidak wajar diukur melalui kekayaan, pembangunan infrastruktur dan kecanggihan teknologi semata-mata. Ia turut bergantung pada sejauh mana keadilan ditegakkan, keamanan dipelihara dan keharmonian dipertahankan. Apabila pembangunan material dan spiritual bergerak seiring, akan lahirlah sebuah negara yang maju, makmur dan diberkati Ilahi.

Keadilan pula merupakan prinsip penting dalam pemerintahan. Pemerintah memikul amanah besar untuk memastikan pentadbiran dilaksanakan secara adil, berintegriti serta mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Allah berfirman dalam Surah al-Nisa’, ayat 58 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, hendaklah kamu menetapkannya dengan adil.”

Kuasa dan kepimpinan bukan suatu keistimewaan, sebaliknya amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Dalam konteks Malaysia, pentadbiran perlu terus berteraskan prinsip keadilan tanpa membezakan kaum, agama, kedudukan atau latar belakang.

Rakyat berhak mendapat perlindungan, keselamatan, layanan yang adil serta peluang menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera. Pemerintahan yang berlandaskan keadilan bukan sahaja membina keyakinan rakyat, malah memperkukuh kestabilan dan keharmonian negara.

Sebaliknya, ketidakadilan boleh mencetuskan perpecahan serta menghakis kepercayaan terhadap institusi negara.

Islam turut menekankan tanggungjawab rakyat untuk mentaati pemerintah dalam perkara makruf dan tidak bercanggah dengan syariat. Allah berfirman dalam Surah al-Nisa’, ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan ulil amri dalam kalangan kamu.”

Ketaatan kepada pemerintah tidak bermakna rakyat tidak boleh menyampaikan pandangan atau teguran. Sebaliknya, pandangan dan teguran boleh disuarakan dengan adab, hikmah serta melalui saluran yang sewajarnya.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersama-sama menghayati nilai madani, memelihara perpaduan serta menghormati kepelbagaian kaum dan agama. 

Perpaduan ialah aset negara yang amat bernilai. Malaysia dibina atas kepelbagaian budaya, bahasa, adat dan kepercayaan yang berkembang bersama sejak sekian lama.

Kepelbagaian itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk bermusuhan, sebaliknya perlu dilihat sebagai kekuatan yang menyatukan rakyat. Setiap daripada kita bertanggungjawab memelihara keharmonian yang telah dibina dan memastikan perbezaan tidak menjadi punca perpecahan.

Dalam masa sama, segala bentuk hasutan, fitnah, kebencian dan provokasi yang boleh menggugat perpaduan perlu ditolak. Era media sosial menuntut setiap rakyat lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang dikongsi. Pastikan maklumat yang disebarkan benar, tidak mengelirukan dan tidak mencetuskan permusuhan.

Semangat saling menghormati juga perlu diterapkan bukan sahaja dalam kehidupan bersemuka, tetapi turut menjadi asas setiap komunikasi di alam maya. Kebebasan bersuara perlu disertai kebijaksanaan dan tanggungjawab supaya ruang digital tidak bertukar menjadi medan yang merosakkan keharmonian.

Pada masa sama, keamanan dan kedaulatan negara perlu dipertahankan bersama. Ancaman terhadap negara bukan hanya hadir dalam bentuk serangan fizikal, malah boleh muncul melalui usaha memecahbelahkan masyarakat, menyemarakkan kebencian dan menggugat kepercayaan antara satu sama lain. Dalam keadaan itu, perpaduan menjadi benteng terpenting bagi memastikan Malaysia terus aman dan stabil.

Perbezaan pandangan serta latar belakang tidak seharusnya memutuskan persaudaraan. Kita mungkin berbeza pendapat, namun tetap boleh saling menghormati dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi.

Kecintaan kepada Malaysia juga perlu diterjemahkan melalui tindakan. Mematuhi undang-undang, bekerja dengan amanah, menghormati orang lain, menjaga keamanan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat ialah antara bentuk kecintaan yang nyata kepada tanah air.

Malaysia ialah negara dan rumah kita bersama. Jangan biarkan perbezaan meruntuhkan keharmonian yang dibina dengan susah payah. Sebaliknya, marilah kita terus menyemai perpaduan, memperkukuh persaudaraan dan bersama-sama membina kehidupan yang aman, bersatu serta makmur.

Peliharalah keamanan dan keharmonian demi Malaysia yang tercinta. Semoga penghayatan nilai madani bukan sekadar pada kata-kata, tetapi terpancar melalui akhlak, tindakan dan kehidupan kita setiap hari.

Salam Maulidur Rasul buat seluruh umat Islam. –UTUSAN

PENULIS ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×