KUALA LUMPUR: Memasuki usia 26 tahun dengan jadual penggambaran yang sangat padat, pelakon, Anna Jobling, meletakkan kesihatan sebagai keutamaannya.
Anna atau Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 26, berkata, kesibukannya dengan pelbagai projek penggambaran menuntut dirinya mengutamakan kesihatan bagi memastikan kualiti lakonannya kekal berada pada tahap yang memuaskan.
“Saya sentiasa sibuk dengan penggambaran dan kerap ke sana sini untuk urusan kerja. Jadi, penjagaan kesihatan tubuh badan menjadi aspek yang sangat penting buat diri saya.
“Kalau saya sakit, ia akan menjejaskan kerja. Harapan saya hanyalah untuk kekal sihat dan jaga diri sendiri dengan baik,” katanya.
Anna berkongsi perkara berkenaan ketika ditanya mengenai harapannya setelah menginjak usia 26 tahun pada tahun ini.
Dalam pada itu, pelakon jelita ini juga memilih untuk lebih menghargai setiap pencapaian kecil dalam hidupnya tanpa perlu berfikir secara berlebihan mengenai perancangan masa depannya.
“Saya tidak pernah meletakkan sebarang matlamat atau pencapaian khusus buat masa ini. Saya lebih suka menjalani kehidupan ini secara santai.
“Kalau terlalu memikirkan masa depan, saya akan mula berfikir berlebihan dan tertekan apabila tidak mendapat apa yang diimpikan. Bagi saya, setiap pencapaian sama ada kecil atau besar adalah rezeki yang patut saya bersyukur,” katanya.
Menyentuh mengenai perkembangan kerjaya seninya, Anna mendedahkan dia kini kerap berulang-alik ke Indonesia bagi memenuhi tawaran lakonan bersama produksi di sana.
“Sekarang saya terlibat dengan sebuah drama sebanyak 10 episod yang membawakan jalan cerita agak berat. Saya memang sudah tidak sabar untuk mula masuk ke set penggambaran berkenaan.
“Drama ini merupakan terbitan produksi Indonesia dan kami sedang banyak melakukan sesi bacaan skrip bersama di sana. Barisan pelakon yang terlibat juga merupakan nama-nama besar yang pasti dinantikan ramai,” ujarnya.
Walaupun mula membina nama dan menerima banyak tawaran di negara seberang, Anna tetap memastikan jadual kerjanya diseimbangkan dengan komitmen lakonan di Malaysia.
“Saya tidak pasti sama ada menjadi rebutan atau tidak, cuma peluang kerja itu sentiasa ada di sana. Saya terus menerimanya sambil meneliti tawaran projek yang ditawarkan di Malaysia juga.
“Kami akan melihat tawaran mana yang paling sesuai dengan jadual kerja saya ketika ini. Saya memang akan pastikan setiap tahun akan ada sekurang-kurangnya satu projek di Indonesia,” katanya.









