BANDAR RAYA Mexico: Gabenor negeri Sinaloa di barat Mexico yang dilanda keganasan dan dikehendaki Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan pengedaran narkotik, mengumumkan bahawa beliau telah kembali menjalankan tugas selepas hampir empat bulan berundur bagi menangkis tuduhan terhadapnya.
Dalam hantaran panjang di X, Ruben Rocha Moya, sekutu Presiden berhaluan kiri, Claudia Sheinbaum menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang jenayah dan kembali ke jawatan itu dengan hati nurani yang bersih.
Jabatan Kehakiman AS pada April mendakwa beliau dan sembilan lagi pegawai daripada parti pemerintah bersekongkol dengan kartel narkotik terkenal Sinaloa untuk mengedar narkotik tersebut di AS dan menuntut ekstradisi mereka.
Ia merupakan kali pertama AS secara terbuka mendakwa seorang ahli politik Mexico yang masih memegang jawatan, sekali gus mencetuskan ketegangan dengan Sheinbaum.
Beliau meminta AS mengemukakan bukti tidak dapat disangkal sebelum Rocha diserahkan, memandangkan beliau sangat rapat dengan mentornya, bekas presiden, Andres Manuel Lopez Obrador.
Namun pada Jumaat, Sheinbaum seolah-olah menjauhkan diri daripada kepulangan Rocha, dengan berkata, tindakan itu merupakan pilihan peribadi gabenor tersebut yang tidak mendapat restunya.
Gabenor berusia 77 tahun itu berundur daripada tugas pada 1 Mei selepas pertuduhan AS terhadapnya.
Kepulangannya secara mengejut ke salah satu jawatan paling berpengaruh di negara itu membuka kemungkinan tercetusnya pertikaian antara Bandar Raya Mexico dan Washington mengenai nasibnya.
Kartel Sinaloa yang terkenal kejam, diasaskan bersama oleh raja narkotik yang dipenjarakan, Joaquin “El Chapo’ Guzman. – AFP











