JERANTUT: Buah rambai hutan yang dahulunya hanya menjadi makanan haiwan liar kini berpotensi menjadi sumber rezeki baharu pekebun tempatan apabila mendapat sambutan menggalakkan di pasaran.
Perkara itu dibuktikan pekebun di Kampung Berau, Ulu Cheka di sini, Mohd. Isa Mat Daud, 72, yang tidak menyangka pokok Rambai Hutan (Baccaurea motleyana) ditanamnya sejak 40 tahun lalu kini mampu menghasilkan pulangan komersial.
Mohd. Isa berkata, benih pokok berkenaan diperoleh dari hutan Gunung Bongkok berhampiran kampungnya selepas tertarik melihat buah berwarna kemerahan bergantungan lebat pada pokok asal.
“Seorang rakan memberitahu itu pokok rambai hutan dan buahnya boleh dimakan seperti rambai kampung. Rasanya manis-manis masam.
“Saya bawa pulang bijinya dan cuba tanam di belakang rumah. Daripada banyak biji benih yang disemai, hanya dua batang pokok berjaya hidup dan mula berbuah selepas lapan tahun,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, rambai hutan mempunyai keunikan tersendiri kerana hanya berbuah dua tahun sekali tetapi mampu menghasilkan buah lebat setiap kali musimnya tiba.
Buah bermula dengan putik berwarna hijau sebelum bertukar kemerahan apabila matang.
“Dulu, saya dan keluarga hanya makan sekadar mampu, selebihnya gugur ke tanah kerana tidak tahu ia boleh dijual,” katanya.
Nasib buah nadir itu berubah selepas seorang peraih dari pekan Damak, Ramli Mustapha, 45, singgah ke kebunnya dan melihat potensi komersial rambai hutan.
Ramli yang sudah 15 tahun berniaga buah-buahan tempatan berkata, beliau teruja menemui rambai hutan buat kali pertama sebelum mencuba menjualnya pada harga RM5 sekilogram.
“Nyata tanggapan saya tidak salah apabila buah ini terus disapu licin pelanggan, sama seperti rambai kampung dan langsat.
“Tumbuhan ini mempunyai potensi komersial tinggi. Pekebun digalakkan menanam lebih banyak pokok rambai hutan bagi memelihara buah nadir ini daripada pupus, sekali gus menambah kepelbagaian buah-buahan tempatan,” katanya.-UTUSAN.











