Misi AS bernilai RM121 juta selamat teleskop angkasa lepas gagal - Utusan Malaysia

Misi AS bernilai RM121 juta selamat teleskop angkasa lepas gagal

MISI untuk menyelamatkan teleskop Swift menemui kegagalan. - Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Misi rumit untuk menyelamatkan teleskop Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) daripada terbakar ketika mema­suki atmosfera telah gagal, kata agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu pada Rabu.

Pendedahan itu dibuat selepas kapal angkasa penyelamat berkenaan tidak dapat dikawal.

Teleskop angkasa Swift, yang mengkaji letupan paling kuat di alam semesta, kini berkemungkinan besar akan memasuki semula atmosfera bumi dan hancur ketika proses itu berlaku lewat tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Misi bernilai AS$30 juta (RM121 juta) itu, yang belum pernah dilakukan sebelum ini bertujuan menghantar robot untuk mengalihkan teleskop ber­kenaan dan mengalihkannya ke orbit yang lebih tinggi.

“Ini bukan hasil yang kami harapkan, tetapi ia tidak me­ngubah sebab misi ini wajar dicuba,” kata Pentadbir NASA, Jared Isaacman.

Perancang misi berharap usaha itu dapat membuka jalan untuk memberikan satelit lain peluang kedua untuk beroperasi.

“Pasukan ini bertindak dengan kelajuan luar biasa bagi memberi Swift peluang untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan, selain meningkatkan keupayaan yang diperlukan Amerika bagi menjalankan khid­mat penyelenggaraan satelit pada masa depan,” tambah Isaacman.

Kapal angkasa tanpa pemandu itu untuk menyelamatkan satelit tersebut dibangunkan oleh syarikat pemula Amerika, Katalyst dan dilancarkan pada 3 Julai menggunakan roket kecil bernama Pegasus, yang dilancarkan dari sebuah pesawat.

Bagaimanapun, pada 28 Julai, syarikat itu berkata, kapal angkasa itu telah berpusing tanpa kawalan selama 72 jam, selain mengalami beberapa masalah termasuk kehilangan komunikasi.

Dalam mengumumkan kegagalan misi itu, Katalyst menyata­kan masalah kawalan orientasi yang berterusan sebagai punca pihaknya dan NASA membatalkan misi tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini