AMANAH kita di muka bumi ini adalah menjadi khalifah Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 30.
Namun, mana mungkin kita mampu menjadi khalifah sekiranya tidak memiliki kuasa untuk mentadbir bumi, sebuah negara dan masyarakat di bawah kepimpinan berteraskan Islam.
Pembentukan sebuah negara Islam itu sendiri adalah suatu kewajipan yang perlu disempurnakan seperti kewajipan solat.
Menurut hadis riwayat Imam Ahmad, Nabi Muhammad SAW meletakkan kewajipan pemerintahan Islam itu sebaris dengan kewajipan solat.
Sudah 69 tahun negara ini merdeka tetapi adakah pemikiran kita benar-benar turut sama merdeka? Hakikatnya, Malaysia ialah sebuah negara Islam namun sebahagian besar daripada rakyat Malaysia masih terperangkap dalam satu naratif yang terus diulang-ulang iaitu Malaysia sebuah negara sekular.
Menurut Imam an-Nawawi di dalam kitab Raudhah al-Thalibin, terdapat tiga bentuk gambaran negara Islam iaitu negara diduduki umat Islam, negara dibuka oleh umat Islam serta kekal dikuasai oleh mereka dan negara yang pada asalnya dikuasai oleh umat Islam kemudian dirampas oleh orang kafir. Jelas, ciri-ciri Malaysia bertepatan dengan takrif tersebut.
Naratif Malaysia sebagai negara sekular telah begitu lama dimainkan sehingga begitu ramai pihak yang menganggap ianya sebagai satu fakta perlembagaan. Sedangkan apabila Perlembagaan Persekutuan dibaca secara menyeluruh, persoalannya tidak semudah itu.
Perkara 3(1) Perlembagaan menyatakan dengan jelas Islam ialah agama bagi Persekutuan.
Sebaliknya, istilah ‘sekular’ tidak pernah dinukilkan dalam Perlembagaan yang sama. Namun malang sekali apabila segelintir pemimpin masyarakat bahkan pihak media terus mendidik rakyat untuk melihat Malaysia melalui kanta mata bahawa agama harus dipisahkan daripada negara dan Islam hanya terpakai untuk urusan rasmi pentadbiran semata-mata.
Antara hujah paling kerap digunakan untuk menyokong naratif Malaysia sebagai negara sekular ialah keputusan Mahkamah dalam kes Che Omar Che Soh lwn. Pendakwa Raya. Namun, Mahkamah Agung dalam kes tersebut tidak memutuskan sama ada Malaysia sebuah negara sekular atau negara Islam. Isu yang diputuskan adalah berkaitan persoalan sama ada hukuman mati bagi kesalahan tertentu bercanggah dengan ajaran Islam. Oleh itu, tidak berperlembagaan.
Perkataan ‘sekular’ yang digunakan dalam penghakiman itu juga perlu dibaca dalam konteksnya. Ia merujuk kepada sifat perundangan yang memerlukan sesuatu prinsip diterjemahkan melalui proses penggubalan undang-undang sebelum menjadi undang-undang dan bukan bermaksud negara memisahkan agama daripada ruang awam.
Walakin, berapa ramai rakyat yang mengetahui perincian ini?
Perlembagaan bukan sahaja menyebut Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Ia turut memberikan ruang khusus kepada hal ehwal Islam, termasuk kedudukan raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam, mahkamah syariah, institusi seperti wakaf dan baitulmal serta kesalahan terhadap perintah agama Islam. Tambahan pada 1988, Perkara 121(1A) dimasukkan ke dalam Perlembagaan.
Pindaan tersebut memperkukuh kedudukan mahkamah syariah dengan menghalang mahkamah tinggi sivil daripada menggunakan bidang kuasanya untuk menyentuh perkara yang berada dalam bidang kuasa mahkamah syariah.
Sekiranya Malaysia benar-benar mahu memisahkan agama daripada negara secara mutlak, mengapa struktur sedemikian wujud dalam undang-undang tertinggi negara?
Hakikat ini wajar ditekankan agar rakyat dapat memahami Perlembagaan berdasarkan teks, sejarah dan struktur perundangannya, bukan berdasarkan retorik yang sering ditimbulkan pempengaruh dan ahli politik.
KEDUDUKAN ISLAM BUKAN SEKADAR SIMBOL
Memang benar dalam tempoh sedekad belakangan ini, banyak pertikaian mengenai undang-undang syariah di mahkamah sivil yang berisiko menjadikan ruang pengamalan dan pentadbiran Islam semakin mengecil dan akhirnya mencair dalam sistem undang-undang negara. Sungguhpun begitu, tidak bermakna permasalahan tersebut tiada penyelesaian tuntas.
Misalnya, kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid lwn. Kerajaan Negeri Kelantan dan terbaharu, kes Lee Bak Chui lwn Kerajaan Negeri Kedah memperlihatkan masalah asas dalam pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, iaitu pertindihan bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri.
Keputusan dalam kes Nik Elin menunjukkan kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal kesalahan syariah terhad apabila perkara tersebut termasuk dalam Senarai Persekutuan, manakala kes di Kedah pula menunjukkan kuasa pentadbiran negeri turut tidak boleh digunakan untuk mengatasi bidang kuasa Persekutuan.
Oleh itu, solusi terhadap pertindihan bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri merupakan kunci untuk memelihara ruang pentadbiran Islam dalam kerangka Perlembagaan.
Penggubal undang-undang perlu berani melakukan penyelarasan dan penstrukturan semula undang-undang agar bidang kuasa negeri dan Persekutuan tidak saling bertembung, sebaliknya saling melengkapi.
Ada juga pihak yang takut apabila Islam diberi tempat dalam negara, masyarakat bukan Islam akan kehilangan hak lalu diabaikan. Tetapi kronologi penggubalan Perlembagaan sudah menunjukkan kedudukan Islam dan perlindungan terhadap hak orang bukan Islam bukanlah dua perkara yang bercanggah.
Malah, Perkara 3 sendiri meletakkan agama-agama lain dalam kedudukan untuk diamalkan secara aman dan damai. Islam sendiri menuntut keadilan. Sejarah membuktikan Nabi Muhammad berjaya memimpin masyarakat majmuk di Madinah menggunakan Piagam Madinah selari dengan prinsip al-Quran menerusi ayat ke-8 Surah Al Maidah. Maka, jika Islam dijulang tetapi keadilan diabaikan, bermaksud pemimpin yang dilantik itu sendiri belum benar-benar memahami Islam.
Barangkali sudah tiba masanya kita menyambut kemerdekaan dengan erti pembebasan yang lebih besar iaitu kemerdekaan pemikiran.
Kita seharusnya tidak apologetik apatah lagi khuatir untuk ‘berperang’ soal label ‘negara Islam’ atau ‘negara sekular’ kerana terlalu banyak kajian serta bukti sejarah yang tersedia berkaitan identiti sebenar Malaysia.
Prioriti yang lebih utama ialah menghapuskan mitos bahawa Malaysia ialah negara sekular dan kembali menghayati naratif negara bangsa berdasarkan kedudukan Islam yang telah sedia termaktub dalam Perlembagaan. –UTUSAN
PENULIS ialah Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Exco Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia dalam Proses Semakan Berkala Sejagat UPR (MACSA).










