UK berisiko kehabisan bekalan gas menjelang 2030

UK berisiko kehabisan bekalan gas menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Britain berdepan risiko kehabisan bekalan gas menjelang dekad 2030-an berikutan penyusutan rizab Laut Utara walaupun mempunyai sumber tenaga bersih yang kian meningkat, memaksa tindakan luar biasa diambil bagi menangkis kejutan bekalan pada masa hadapan.

Kerajaan kini sedang mempertimbangkan pelbagai langkah sokongan kewangan secara langsung bagi memelihara infrastruktur gas negara yang semakin berusia. 

Ini susulan dapatan satu sesi konsultasi yang mendapati senario tekanan tinggi boleh menyebabkan kediaman dan premis perniagaan terputus bekalan gas dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Tenaga, Michael Shanks menegaskan sebarang bentuk campur tangan atau pelaburan kerajaan dalam pasaran gas adalah satu tindakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan bukannya keputusan yang boleh dibuat secara mudah.

Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk bantuan kewangan kepada pemilik kemudahan penyimpanan gas serta pengendali paip, bagi memastikan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur tersebut kekal berdaya saing secara ekonomi untuk tempoh beberapa dekad akan datang.

Shanks menambah, walaupun United Kingdom (UK) komited mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil menerusi peralihan tenaga bersih, sistem gas secara fizikal masih memainkan peranan penting untuk membekalkan tenaga kepada jutaan isi rumah, sektor perindustrian dan grid kuasa dalam tempoh peralihan ini.

Perkembangan ini hadir ketika kerajaan bersedia membuat keputusan berhubung masa depan dua cadangan projek lapangan minyak dan gas kontroversi di Laut Utara, iaitu Rosebank dan Jackdaw. 

Perdana Menteri, Andy Burnham menyatakan pendekatan pragmatik akan diambil memandangkan keutamaan diberikan kepada kestabilan tenaga negara.

Tahun lalu, gas menyumbang lebih satu pertiga daripada jumlah penggunaan tenaga di UK. Walaupun penggunaan gas dijangka merosot lebih 75 peratus menjelang 2050 selaras dengan sasaran iklim, pengeluaran domestik dari Laut Utara merosot lebih pantas iaitu sekitar lima peratus setiap tahun, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap keterjaminan tenaga negara. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini