LONDON: Pelumba Mercedes, George Russell mencuri tumpuan peminat Formula 1 (F1) apabila mengumumkan berita gembira mengenai pertunangannya dengan kekasih, Carmen Montero Mundt baru-baru ini.
Pengumuman itu dibuat Russell ketika rehat musim panas F1, sekali gus memberi sedikit keceriaan buat pelumba Britain itu yang mengharungi separuh pertama musim yang agak mencabar.
Menerusi hantaran di media sosial, pasangan romantis itu berkongsi beberapa keping foto mesra bersama kapsyen ringkas menggunakan emoji cincin sebagai simbol ikatan cinta mereka.
Russell dan Montero Mundt mula berkenalan melalui rakan mereka pada 2020 dan hubungan itu dilihat semakin matang, dengan Russell sering mengakui bahawa sokongan wanita itu adalah tonggak kekuatannya dalam dunia perlumbaan.
Berita gembira tersebut turut disambut baik oleh rakan-rakan seperjuangan di litar lumba yang tidak melepaskan peluang mengucapkan tahniah kepada pasangan itu.
“Dah tiba masanya. Sangat gembira untuk anda berdua,” tulis pelumba Williams, Alex Albon dalam ruangan komen.
Selain Albon, barisan pemandu terkenal lain seperti Oscar Piastri, Pierre Gasly dan Carlos Sainz serta pasukan Mercedes dan Williams turut menyampaikan ucapan selamat buat mereka. – AGENSI









