Arteta akui Arsenal belum cukup ampuh

Arteta akui Arsenal belum cukup ampuh

Pemain tengah Arsenal, Max Dowman (kanan) diasak pemain Real Betis, Jose García Torres dalam perlawanan persahabatan di Stadium Aviva, Dublin, Ireland, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBLIN: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui kekalahan kepada Real Betis membuktikan skuad sedia ada belum cukup ampuh untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pada aksi itu, The Gunners tampil longlai apabila dibelasah 3-1 oleh Real Betis, semalam dalam aksi pramusim yang dianggap ujian sebenar pertama mereka.

Namun, aksi menentang Betis yang juga beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah menjadi kayu ukur sebenar meskipun Arsenal belum diperkuat beberapa tonggak yang baru pulang daripada Piala Dunia seperti Bukayo Saka dan Declan Rice, selain William Saliba yang masih dibelenggu kecederaan.

Persembahan hambar itu bagaimanapun dijangka meningkatkan lagi keinginan Arteta untuk menambah kekuatan skuad dengan terus mengintai pemain baharu.

“Perlawanan seperti ini memberi gambaran sebenar tentang kedudukan kami ketika ini. Masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki dan kami perlu lebih konsisten jika mahu bersaing di tahap tertinggi.

“Sudah tentu saya mahukan skuad yang lebih lengkap. Kami mempunyai pemain berkualiti, tetapi musim yang panjang memerlukan lebih banyak pilihan dan persaingan dalam pasukan.

“Masih ada masa sebelum musim bermula. Saya yakin kami akan berada pada tahap yang lebih baik apabila semua pemain kembali cergas dan bersedia sepenuhnya,” kata Arteta.

Ketibaan Bruno Guimaraes yang dijangka menyertai Arsenal menerusi perpindahan bernilai 75 juta pound (RM412.5 juta) bakal memberi suntikan besar, namun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

Pada masa sama, usaha Arsenal mendapatkan Vinicius Junior mungkin berdepan halangan selepas Real Madrid dilaporkan menawarkan kontrak baharu yang lebih lumayan kepada pemain Brazil itu.

Keputusan itu menjadi peringatan jelas bahawa jika Arteta mahu membawa Arsenal ke dimensi berbeza seperti yang diimpikannya, beliau memerlukan beberapa lagi pemain bertaraf bintang sebelum musim baharu bermula. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×