Kebakaran hutan boleh merebak ke seluruh Eropah - Utusan Malaysia

Kebakaran hutan boleh merebak ke seluruh Eropah

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran hutan di Lanton, barat daya Perancis.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran kebakaran hutan boleh merebak ke lebih banyak kawasan di benua itu dalam beberapa hari akan datang.

Amaran itu dikeluarkan ketika kebakaran besar terus memusnahkan beberapa negara, termasuk Greece, Perancis, Sepanyol dan Portugal.

Greece, Itali dan Eropah Tengah dijangka berdepan risiko kebakaran hutan paling tinggi dalam tempoh beberapa ming­gu akan datang. Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya bencana baharu ketika anggota bomba masih bertungkus-lumus memadam kebakaran besar di selatan Eropah.

Ketua Pusat Penyelarasan Tindak Balas Kecemasan EU, Maria Zuber berkata, tempoh beberapa hari akan datang dijangka mencabar dan memberi amaran ancaman kebakaran hutan kini beralih ke bahagian timur benua Eropah selepas memusnahkan kawasan di Perancis serta Semenanjung Iberia.

“Risiko seterusnya kini sudah bergerak ke Greece dan juga Eropah Tengah. Greece sebelum ini terselamat buat sementara waktu tetapi kini, kita melihat ancaman itu akan melanda negara berkenaan.

“Itali pula dijangka berdepan risiko pada awal Ogos, manakala keadaan di Semenanjung Iberia masih perlu dipantau. (Ini) ke­rana jika kebakaran turut berlaku di kawasan itu, seluruh Eropah berdepan ancaman kebakaran,” kata Zuber kepada pemberita.

Jangkaan itu dibuat berdasarkan keadaan cuaca yang boleh mencetuskan dan mempercepatkan penyebaran kebakaran, termasuk suhu tinggi, udara kering, angin kencang serta kekurangan hujan.

Eropah mencatat musim kebakaran hutan paling buruk dalam rekod pada tahun lalu apabila lebih sejuta hektar kawasan musnah akibat kebakaran. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN