Politik Malaysia di persimpangan - Utusan Malaysia

Politik Malaysia di persimpangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya kerap ditanya mengenai politik Malaysia oleh kawan-kawan di kedai kopi mahu pun dalam media sosial. Kata mereka, politik tidak stabil. Ada merungut apa hendak jadi dengan politik Malaysia ini. Ada yang kata kerajaan gagal.

Ada yang kecam, mereka tidak ada kerja lain kecuali mahu jadi Perdana Menteri dan menumbang kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pelbagai isu yang dibangkitkan.

Adakah politik Malaysia tidak stabil? Secara peribadinya saya berpandangan politik negara ini sebenarnya stabil. Tiada apa yang perlu dirisaukan dari segi politik dalam sistem demokrasi pada hari ini. Cuma kestabilan politik itu banyak terlindung dek polemik politik mutakhir ini yang tidak keruan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jika politik tidak stabil, berapa ramai wakil rakyat meletakkan jawatan? Setakat ini tiada seorang pun wakil rakyat berani berbuat demikian sebagai protes ke atas pembentukan kerajaan PN yang dikatakan kerajaan pintu belakang, bumbung bocor dan lompat si katak lompat. Semua 222 Ahli Parlimen masih steady dengan jawatan masing-masing. Cuma bezanya mereka ada di pihak kerajaan dan pembangkang.

Di negara lain, Ahli Parlimen sanggup meletakkan jawatan sebagai protes kepada kerajaan. Jika satu pertiga daripada 222 orang Ahli Parlimen meletakkan jawatan, baharulah politik itu tidak stabil.

Bila mereka letak jawatan secara besar-besaran, pilihan raya kecil atau umum mesti diadakan. Jadi, ketidakstabilan politik tidak boleh diukur melalui pendirian Ahli Parlimen sama ada menyokong kerajaan PN atau sebaliknya.

Senario politik hari ini menunjukkan peranan wakil rakyat dalam proses membentuk kerajaan selain sebagai perwakilan dan ahli perundangan. Sebab itu, ada wakil rakyat melompat parti apabila hilang kepercayaan kepada kerajaan sedia ada dan wujud kerajaan baharu. Perkiraannya cukup ringkas, apabila mempunyai majoriti mudah walaupun sekadar lebih satu kerusi boleh membentuk kerajaan.

Politik itu tidak stabil bila ada protes jalanan, demonstrasi besar-besaran, rusuhan dan sebagainya. Setakat berbalah menentukan siapa yang mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan, itu hanya percaturan politik dan bukan ketidakstabilan politik. Cuma kerajaan yang dibentuk tanpa majoriti besar tidak kukuh dan boleh jatuh bila-bila masa.

Lihat kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tahun 2009 tumbang kepada Barisan Nasional (BN). Awal 2020 pula kerajaan Pakatan Harapan jatuh ke tangan PN termasuk di Johor, Melaka, Perak dan Kedah. Pertukaran kerajaan itu berlaku kerana wakil rakyat melompat parti.

Ada pihak mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan. Kenapa pertukaran kerajaan masih tidak berlaku? Sebelum ini PN mempunyai majoriti dan tidak perlu pun menunggu sidang Parlimen untuk membentuk kerajaan. Cukup sekadar menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembah maklum mempunyai majoriti kerusi. Akhirnya Perdana Menteri baharu dilantik sebagai wujud kerajaan PN.

Adakah Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima perakuan mendapat sokongan majoriti seperti yang didakwa itu? Jika berkenan, mengapakah tidak berlaku pertukaran kerajaan? Hal ini cukup mudah difahami. Bagi saya, ia tidak berkaitan langsung pun dengan sidang Parlimen perlu diadakan segera atau tidak.

UNDI TIDAK PERCAYA

Jika Parlimen boleh bersidang, memang usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri boleh dilakukan. Jika usul itu berjaya, Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan. Alasan untuk mempercepat sidang Parlimen hanya untuk menguar-uarkan telah ada sokongan majoriti, jika benar pun semua itu, pembentukan kerajaan boleh berlaku tanpa sidang Parlimen seperti telah berlaku sebelum ini.

Betulkah kerajaan gagal? Saya tertarik dengan suatu ciapan oleh rakan dalam media sosial iaitu “Kerajaan gagal ke? Atau menggagalkan kerajaan. Sememangnya kerja mereka mahu kerajaan digagalkan walau apa cara sekalipun..”

Ada benar nukilan itu. Jika benar seperti yang tular dalam media sosial mengenai pembentukan Jajaran Harapan oleh PKR, DAP, UMNO dan PAN, ini merupakan gerakan politik untuk menumbangkan PN dalam masa terdekat atau dalam PRU-15 nanti.

Keadaan politik makin panas ekoran titah Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen perlu disegerakan. Ini mendapat banyak reaksi. UMNO telah memberi tempoh 14 hari daripada titah itu untuk kerajaan memanggil Parlimen bersidang.

Perkara ini mendapat reaksi berbeza oleh pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa yang menolak tindakan itu dan tidak bersetuju dengan pendirian Presiden UMNO. Alasannya UMNO kini masih dalam dalam PN kecuali dalam PRU-15 nanti.

Terkini dikhabarkan 29 Ahli Parlimen BN menandatangani Akaun Bersumpah kepada Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn sebagai wakil mereka kerana tidak mahu diperguna oleh pihak yang pro kepada Anwar Ibrahim dan DAP. Ini jelas memberi isyarat kepada Presiden UMNO yang bakal menghadapi cabaran besar selepas ini. Jadi, kini politik Malaysia berada di persimpangan. Janganlah menang jadi arang, kalah menjadi abu.

Wahai wakil rakyat, jangan asyik berpolitik untuk menjatuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri. Sekarang kerajaan terpaksa melakukan banyak usaha bagi membantu rakyat yang terjejas disebabkan Covid-19. Ramai yang hilang pekerjaan, tidak boleh bekerja, tidak ada punca pendapatan, perniagaan tidak dapat dijalankan dan sebagainya. Amat sesuai dalam keadaan hari ini wakil rakyat membantu rakyat dan jangan pandai berpolitik sahaja.

Ada pula wakil rakyat yang tinggal jauh dari kawasan yang diwakilinya. Jadi, rakyat hendak mengadu kepada siapa?

Ada banyak cara untuk membantu rakyat jika itu niatnya. Begitu juga ada banyak cara mencari kesalahan dan kelemahan jika itu niatnya. Tepuk dada tanya selera.

Prof. Madya Dr. Malike Brahim Perunding Kanan Global Political Analyst and Academic Consultant (GoPAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini