Pasar Siti Khadijah ‘lubuk’ 3 kuih RM1

Pasar Siti Khadijah ‘lubuk’ 3 kuih RM1

PELANGGAN membeli kuih RM1 di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Meskipun berdepan kenaikan kos bahan mentah, ramai peniaga di Pasar Siti Khadijah di sini, masih mempertahan harga RM1 bagi beberapa jenis kuih popular bagi memastikan ia kekal mampu dibeli pelanggan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan peniaga masih menjual dua hingga tiga biji kuih pada harga RM1 membabitkan kuih cara, roti goreng, donut, cek mek, keria dan cekodok durian, walaupun margin keuntungan semakin mengecil.

Seorang peniaga, Aziani Nor, 30, berkata, ada dalam kalangan peniaga pernah mencuba menaikkan harga beberapa jenis kuih kepada RM2 bagi tiga biji susulan peningkatan kos bahan mentah, namun sambutan pelanggan merosot.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kuih tidak habis dijual sehingga lewat petang sebelum mereka mengambil keputusan mengekalkan harga RM1 bagi tiga biji untuk kuih terpilih.

“Disebabkan itu, saya dan peniaga lain mengekalkan harga RM1 untuk tiga biji kuih yang terpilih.

“Pelanggan terutama pengusaha kedai kopi pernah merungut apabila kuih yang sebelum ini dijual dengan harga RM1 untuk tiga biji dikurangkan kepada dua biji,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi peniaga, Nazahiah Abdul Wahab, 52, berkata, beberapa jenis kuih masih dijual pada harga RM1 bagi tiga biji sejak beberapa tahun lalu bagi mengelak pelanggan terbeban.

Katanya, perniagaan kuih memerlukan modal yang tinggi kerana bekalan diperoleh daripada pembekal, namun keuntungan diperoleh tidak seberapa.

“Tidak dinafikan ada dalam kalangan pelanggan merungut apabila beberapa jenis kuih dijual pada harga RM2 untuk tiga biji, sedangkan harga itu masih rendah.

“Pelanggan sepatutnya faham keadaan sekarang kerana kos bahan mentah meningkat dan tidak boleh menunding jari begitu sahaja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN