Selat Hormuz masih belum aman

Selat Hormuz masih belum aman

KOR Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyasarkan kedudukan tentera AS di Teluk sebagai tindak balas serangan Washington ke atas negara itu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Perjanjian gencatan senjata antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) dilihat kembali goyah selepas kedua-dua negara saling berbalas serangan di Teluk.

Tindakan ketenteraan baharu sejak Jumaat dan semalam meningkatkan semula ketegangan di rantau berkenaan, sekali gus mengancam gencatan senjata rapuh dan rundingan yang sedang berlangsung mengenai keselamatan di Selat Hormuz.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata, pasukannya menyasarkan kedudukan tentera AS di Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu Washington ke atas negara itu.

“Tindakan balas terhadap serangan baharu AS ke atas Iran akan dilakukan dengan pantas dan tegas,” menurut kenyataan IRGC yang disiarkan agensi berita ISNA, sebelum kemudiannya dipadamkan.

Pengawal tersebut tidak memberikan butiran mengenai lokasi kedudukan AS yang disasarkan.

Pertukaran serangan terbaharu itu berlaku selepas tentera AS melancarkan serangan kelmarin ke atas kemudahan peluru berpandu, dron dan tapak radar Iran.

Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata, serangan tersebut dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan dron Iran sehari sebelumnya ke atas kapal kargo berbendera Singapura, Ever Lovely, ketika ia keluar dari Selat Hormuz melalui koridor inisiatif yang diselaraskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pencerobohan tidak berasas terhadap kapal komersial oleh pasukan Iran jelas melanggar gencatan senjata,” menurut CENTCOM dalam kenyataan di platform X.

Media Iran melaporkan, satu projektil mengenai kawasan sekitar sebuah jeti di Sirik, selatan negara iti, susulan serangan AS tersebut.

Susulan itu, Kementerian Luar Iran menuduh AS melakukan pelanggaran secara terang-terangan terhadap perjanjian damai ekoran serangan terbaharu ke atas negara itu.

“Serangan kejam yang menyasarkan kemudahan pengawasan pantai Iran, adalah pelanggaran terang-terangan terhadap memorandum persefahaman untuk menamatkan perang,” kata kementerian dalam kenyataan semalam.

Keganasan terbaharu itu berlaku ketika tempoh paling sensitif, apabila Washington dan Teheran berusaha merundingan penamatan perang secara kekal, di bawah perjanjian sementara yang dicapai minggu lalu.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×