KUANTAN: Perpecahan dalam UMNO yang semakin jelas dan berpuak-puak didakwa berpunca daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, sejarah tidak menipu dan berasaskan fakta.
“Kita lihat dahulu bermula daripada UMNO, lahirnya Semangat 46, selepas itu PKR dan selepas itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kini Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula, bukankah semua parti itu wujud kerana Mahathir? Jadi, parti UMNO berpecah kerana siapa?” soalnya ketika ditemui di sini semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan tentang perpecahan dalam UMNO selepas wujud dua Akuan Bersumpah (SD) dalam kalangan wakil rakyat parti berkenaan termasuk yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengisi jawatan nombor satu kerajaan.
Satu lagi SD dipercayai disokong sebahagian ahli parlimen untuk menjadikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai jurucakap parti.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, gerakan menjadikan Hishammuddin sebagai jurucakap parti bukan kerana berdendam kepada Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Ahmad Tajuddin mendakwa, kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan tertubuhnya kerajaan baharu di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) juga disebabkan oleh tindakan Mahathir.
“Begitu juga budaya lompat parti yang berlaku di negara ini, ia angkara siapa? Akibat tindakan Mahathir bukan sahaja orang Melayu berpecah-belah malah pemimpin UMNO pun cempera disebabkannya,” dakwanya. – UTUSAN











