PUTRAJAYA: Kerajaan tiada perancangan menjual sebarang hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang kepada mana-mana pihak.
Kementerian Kewangan memaklumkan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih memiliki pajakan selama 60 tahun iaitu sehingga 2067, ke atas tanah di mana terletaknya LTSAAS yang dianggap sebagai aset strategik kerajaan.
“LTSAAS salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi antara kerajaan dan MAHB yang dimeterai pada 2009. MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kementerian Kewangan berkata, setakat ini, MAHB masih pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS.
Sebahagian tanah LTSAAS juga telah dipajakkan (sub leased) oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn. Bhd. bagi tempoh 30 tahun (2007-2037), merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan hangarage.
“Sebarang usaha memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berasingan pula menjelaskan, MAHB bertanggungjawab mengembangkan LTSAAS sebagai hab aeroangkasa antarabangsa mengikut keputusan Kabinet pada 2 Mac 2005.
Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa menjual aset MAHB itu dipercayai kepada sebuah syarikat swasta, WCT Bhd. (WCT).
Pakar penerbangan, Jaafar Zamhari pernah menyuarakan sebelum ini yang menyatakan sekiranya WCT mengambil alih LTSAAS, ia akan memberikan impak negatif kepada MAHB sebagai pengendali antara 39 lapangan terbang itu.
Sementara itu, Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sokongan pihak kerajaan lebih mendalamkan lagi komitmen syarikat untuk terus menyumbang dalam mencapai aspirasi negara dan memperkukuhkan industri penerbangan Malaysia.
“Kami yakin, komitmen ini dapat dipenuhi sepenuhnya dengan pelaksanaan pelan Regenerasi LTSAAS yang telah dirangka yang akan memastikan ia kekal sebagai aset strategik negara,” katanya dalam kenyataan.
Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia, Naguib Mohd. Nor berkata, MAHB perlu mendapatkan pengesahan segera daripada kerajaan mengenai pelaksanaan pelan Regenerasi LTSAAS kerana perkara itu tidak disentuh dalam kenyataan tersebut.
“Terdapat banyak percubaan sebelum ini untuk mengambil alih lapangan terbang Subang sekali gus menimbulkan kegelisahan kepada operator asing.
“Industri itu memerlukan hala tuju yang jelas bagi memajukan sektor tersebut, dan LTSAAS adalah kunci utamanya. Justeru, pelan itu perlu diluluskan dengan segera,” katanya. – UTUSAN











