Jangan gadai negara atas nama kemanusiaan

Jangan gadai negara atas nama kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Jangan sampai biduk yang ditumpangkan akhirnya mahu menentukan haluan nakhoda. Jangan sampai kerana terlalu murah hati tuan rumah pula dipesoalkan haknya di rumah sendiri.”

Demikian tegas Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang baru-baru ini sebagai peringatan kepada setiap rakyat Malaysia agar tidak membiarkan kedaulatan negara tergadai akibat kealpaan dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di negara kita.

Titah baginda ini sememangnya tepat pada masanya, tatkala masalah PATI, khasnya yang melibatkan pelarian sedang panas diperkatakan di segenap pelosok negara kita.

Memuatkan artikel berkaitan…

Isu ini menyebabkan rakyat bergaduh sesama sendiri semata-mata kerana mahu menegakkan pendapat masing-masing. Lagi-lagi pula pada musim menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN). Isu ini dengan mudah bertukar menjadi pertelingkahan yang berbaur politik sehingga ‘keluar’ daripada fokus sebenar masalahnya.

Seringkali kita lupa pesan orang tua-tua bahawa api itu, tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Lalu, sedang leka bertelagah, kita membiarkan sahaja api yang sedang membara menjadi semakin marak.

Keadaan menjadi semakin parah apabila datang pihak yang mahu mengambil kesempatan, lantas mereka mencurahkan minyak kepada api yang sedang marak menyala itu tanpa sedikit pun memikirkan soal maruah dan keselamatan negara.

Tiada gunanya kita bercakap berdegar-degar tentang bagaimana caranya untuk menangani krisis ini, jika tidak ada sekelumit pun kesedaran di hati masing-masing tentang tanggungjawab yang sepatutnya dipikul sebagai warganegara Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan negara bangsa ini.

Sultan Abdullah seterusnya bertitah, “Islam mengajar kita untuk berlaku ihsan terhadap mereka yang ditimpa musibah, kehilangan tanah air serta menjadi mangsa peperangan dan penindasan.”

“Namun rahmah yang dianjurkan agama tidak pernah bererti kita perlu mengabaikan kedaulatan negara atau membiarkan belas ihsan melangkaui batas yang ditetapkan oleh undang-undang. Sesungguhnya belas ihsan itu lambang kemuliaan sebuah bangsa tetapi kedaulatan negeri dan negara adalah amanah yang tidak boleh digadai.”

Di sini baginda sekali lagi menegaskan tentang betapa pentingnya untuk mengimbangi perasaan belas ihsan sehingga tidak menjadikan seseorang lalai dalam menunaikan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

 

ISU pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelarian perlu ditangani secara bijak, adil serta berhemah tanpa dipolitikkan atau menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

TETAMU DIHORMATI, UNDANG-UNDANG MESTI DIPATUHI

Baginda turut membangkitkan rakyat hari ini semakin gusar apabila melihat golongan tertentu yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan, kini semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini.

“Dalam adat Melayu dan ajaran Islam, tetamu sentiasa dimuliakan. Namun tetamu yang mengenal adab, akan tahu menghargai budi, menghormati undang-undang dan memahami batas dirinya,” titah baginda lagi.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Namun ada juga yang menuntut pelbagai perkara atas alasan hak asasi, namun merasakan tiada keperluan mematuhi undang-undang tempatan, apatah lagi menumpahkan taat setia kepada negara atas alasan mereka bukanlah seorang warganegara.

Bagi yang hanya menilai dari jauh, mungkin tidak merasakan perasaan pihak yang terpaksa berhadapan dengan masalah berbangkit daripada kebanjiran masyarakat pelarian ini.

Dalam keadaan ekonomi dunia hari ini yang amat mencabar, maka tidak hairanlah apabila orang ramai merungut apabila kerajaan terpaksa memikul beban tambahan untuk memberikan perkhidmatan kepada golongan berkenaan sedangkan rakyat sendiri ramai yang hidup dalam keadaan terumbang-ambing bergelut dengan pelbagai masalah.

Sebagai contoh mudah, masih ramai mahasiswa di universiti tempatan yang saban hari terpaksa mengikat perut dan melakukan pelbagai pekerjaan sepanjang bergelar mahasiswa.

Tetapi, ironinya, orang luar pula yang merasa berhak untuk menuntut itu dan ini sehingga menghimpit hak rakyat kita sendiri. Keadaan serupa juga disuarakan oleh masyarakat Sweden ketika saya menghadiri sebuah persidangan di Stockholm, tiga tahun lalu.

Seperti dialami di Malaysia, masyarakat di sana juga merasa tersepit di antara perasaan belas ihsan dan sikap sebahagian masyarakat pelarian yang apabila besar bilangannya mula tidak menghormati batasan dan undang-undang negara tuan rumah.

Bebanan ke atas negara yang terpaksa menerima warga pelarian yang ramai ke dalam masyarakat mereka amatlah berat. Ini melibatkan perkhidmatan kesihatan dan pelbagai kemudahan awam yang menjadi semakin tertekan akibat pertambahan bilangan penduduk yang berganda.

Lebih-lebih lagi apabila mereka tidak menghormati cara hidup tuan rumah, lalu menimbulkan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat yang tambah menyemarakkan kemarahan penduduk setempat.

Akhirnya kita menghalakan kemarahan kepada pihak kerajaan dan menjadikan isu ini sebagai isu politik yang panas di antara para penyokong parti pembangkang dan parti kerajaan.

Dunia harus bersikap lebih adil kepada negara-negara tuan rumah serta berusaha keras mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini secara tuntas dan telus selain bantu membiayai kos yang ditanggung oleh negara terbabit.

Jangan sampai gadaikan tanggungjawab kita yang lebih besar hanya kerana desakan sesetengah pihak untuk tanggungjawab yang lebih kecil. Tetapi, jangan pula salah gunakan alasan kepentingan awam untuk kepentingan politik semata-mata.

Dalam menyelesaikan sesuatu isu, kita perlukan kerjasama semua pihak, serta rakyat yang bersatu dan bersemangat untuk membantu usahanya.

Isu sebegini bukan isu yang baharu dan tidak wajar mengapi-apikannya secara melampau, semata-mata kerana ingin bersiap menghadapi pilihan raya, tidak kira dari pihak mana.

Tanggungjawab kita sebagai rakyat juga untuk tidak bertelingkah dan memecah-belahkan lagi masyarakat. Maka tiada gunanya jika kita membangkitkan kebencian atas nama keselamatan dan kedaulatan. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini