WASHINGTON: Rumah Putih meminta ahli-ahli Kongres meluluskan peruntukan sebanyak AS$87.6 bilion (RM360.28 bilion), dengan sebahagian besarnya diperuntukkan bagi keperluan mendesak berkaitan perang Amerika Syarikat (AS) dengan Iran.
Arahan itu dikeluarkan sehari selepas Kongres meluluskan resolusi yang menegur tindakan ketenteraan tersebut.
Daripada jumlah itu, AS$67 bilion (RM275.54 bilion) akan disalurkan kepada Jabatan Pertahanan, termasuk AS$21 bilion (RM86.35 bilion) bagi pembelian peluru, AS$17.3 bilion (RM71.14 bilion) untuk kos operasi ketenteraan dan AS$12.1 billion (RM49.76 bilion) bagi program-program sulit, menurut Rumah Putih.
Baki dana pula diperuntukkan bagi langkah-langkah lain yang tidak berkaitan secara langsung dengan konflik Iran, termasuk AS$11 billion (RM45.24 bilion) untuk membantu petani AS dan AS$1.4 billion (RM5.75 bilion) bagi menangani wabak Ebola di Afrika Tengah.
Bagaimanapun, cadangan itu dijangka berdepan laluan sukar di Kongres memandangkan konflik Iran tidak mendapat sokongan ramai pengundi, selain pilihan raya pertengahan penggal yang bakal berlangsung pada November ini.
Pejabat Pengurusan dan Belanjawan Rumah Putih menghantar permohonan rasmi pembiayaan tersebut kepada Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson pada Rabu.
“Kebanyakan permohonan ini adalah bagi memenuhi keperluan mendesak berkaitan Operasi Epic Fury,” menurut surat berkenaan, merujuk kepada perang Iran.
Permohonan itu turut merangkumi kira-kira AS$300 juta (RM1.2 bilion) bagi memperkukuh keselamatan kedutaan AS dan pos diplomatiknya di Asia Selatan serta Asia Barat selepas beberapa daripadanya menjadi sasaran serangan sepanjang konflik tersebut.
Walaupun Washington dan Teheran kini sedang mematuhi gencatan senjata, surat daripada pejabat belanjawan Rumah Putih itu menyatakan Pentagon perlu membina semula stok persenjataan selepas melaksanakan serangan ketenteraan.
Permohonan tersebut dibuat ketika sebahagian anggota Republikan di Kongres mula menunjukkan keraguan terhadap pelan damai yang dipersetujui Trump dengan Iran minggu lalu.
Terdahulu pada Rabu, Presiden AS, Donald Trump mengadakan pertemuan tegang dengan senator Republikan selepas beliau secara mengejut membatalkan majlis menandatangani rang undang-undang perumahan dwipartisan.
Dalam sesi makan tengah hari tertutup di Capitol Hill, Trump meluahkan rasa tidak puas hati terhadap undian Senat pada Selasa yang bertujuan mengehadkan kuasa perangnya.
Resolusi itu, walaupun lebih bersifat simbolik, merupakan yang pertama seumpamanya diluluskan Kongres yang mengarahkan seorang presiden menamatkan tindakan ketenteraan.
Sebelum menghadiri pertemuan di Capitol Hill, Trump menyifatkan undian berkaitan kuasa perang itu sebagai tidak kena pada masanya dan tidak bermakna.
Melalui media sosial, beliau turut melabel empat senator Republikan yang mengundi bersama Demokrat sebagai ‘golongan yang kalah’.
Salah seorang daripada Senator tersebut, Bill Cassidy dari Louisiana berkata, beliau dan Trump terlibat dalam pertengkaran mulut semasa sesi makan tengah hari tertutup itu.
“Saya berdiri dan berkata, ‘Anda tidak memberitahu rakyat AS apa yang sebenarnya sedang berlaku’.
“Konflik ini sepatutnya berlangsung selama empat minggu, tetapi kini sudah berlarutan selama empat bulan. Matlamat asal kita juga masih belum tercapai,” katanya kepada wartawan.
Dalam pertemuan lebih awal pada hari yang sama bersama Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, Trump sekali lagi mengkritik undian berkaitan kuasa perang itu.
“Kami mempunyai empat senator Republikan dan semua Demokrat. Mereka mahu perang ini kalah kerana mereka bodoh,” katanya.
Bulan lalu, Ketua Pegawai Kewangan Pentagon, Jules Hurst memberitahu satu panel Kongres bahawa perang tersebut telah menelan kos sekitar AS$29 bilion (RM119.29 bilion) setakat ini.
Namun, penganalisis pertahanan dan beberapa anggota Kongres berpendapat anggaran itu tidak menggambarkan sepenuhnya skala kerugian kewangan sebenar yang berpunca daripada konflik berkenaan.-AGENSI










