KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,596 bilik darjah baharu dibina bagi menampung kemasukan dua kohort murid Tahun Satu pada 2027, membabitkan 478,419 permohonan masing-masing 73,386 pendaftaran kanak-kanak enam tahun dan 405,033 kanak-kanak umur tujuh tahun.
Jumlah keseluruhan permohonan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 12.07 peratus berbanding kemasukan tahun satu 2026 yang hanya melibatkan kohort umur tujuh tahun.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang membina bilik darjah baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular melibatkan 838 sekolah dan dijangka siap tahun ini.
“KPM turut mengambil 3,150 guru secara kontrak perkhidmatan (COS) berdasarkan jumlah pendaftaran semasa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai persiapan KPM menerima kemasukan murid usia enam tahun ke tahun satu pada 2027 dan kaedah memastikan guru tidak terbeban dengan pertambahan itu.
Menjawab soalan tambahan Jalaluddin mengenai penyelarasan antara prasekolah dan tadika serta tahap kesiapsiagaan murid daripada latar belakang pendidikan awal yang berbeza, Wong berkata, ibu bapa diberi pilihan untuk menentukan kesediaan anak masing-masing sama ada memasuki kohort usia enam tahun atau kekal dalam kohort umur tujuh tahun.
Beliau berkata, KPM turut memperluas akses pendidikan prasekolah dengan menambah 350 kelas prasekolah pada tahun ini berbanding kira-kira 150 kelas setiap tahun sebelum ini, bagi memastikan akses terutamanya untuk golongan B40 yang tidak mampu masuk ke tadika swasta.
Pada masa sama, KPM juga meneliti implikasi terhadap kelangsungan operasi tadika swasta susulan kehilangan satu kohort murid, selain memastikan sesi libat urus diteruskan dengan pihak berkepentingan.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai latihan guru untuk mengendalikan murid kohort usia enam tahun dan unjuran kekurangan guru mengikut negeri, Wong berkata, KPM mempunyai unjuran lima tahun berkaitan keperluan guru pada peringkat kebangsaan dan negeri.
Katanya, selain guru COS, KPM juga akan melantik sebahagian calon simpanan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memenuhi keperluan semasa, selain memperkukuh latihan profesion berkenaan terutama sebagai persediaan menerima murid kohort usia enam tahun ke tahun satu.
“Kita juga akan memanfaatkan sebanyak mungkin program transisi tahun satu bagi menyokong penyesuaian murid dan memastikan kurikulum persekolahan 2027 yang kita akan laksanakan tahun depan ini disesuaikan dengan tahap perkembangan, dan juga keperluan murid di sekolah masing-masing,” katanya.
Pada 20 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara mengumumkan mulai 2027, kanak-kanak berusia lima tahun akan mengikuti pelajaran prasekolah manakala Tahun Satu pada usia enam tahun.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, pelaksanaan kemasukan anak ke Tahun Satu pada usia enam tahun, bukan diwajibkan kepada semua ibu bapa.
Menurutnya, setakat ini, KPM telah menerima lebih 476,000 pendaftaran murid bagi kemasukan Tahun Satu Sesi Akademik 2027 setakat Jun lalu, termasuk lebih 73,000 permohonan melibatkan kanak-kanak berusia lima tahun.
Jumlah itu menunjukkan sambutan positif ibu bapa terhadap proses pendaftaran yang dibuka kepada kanak-kanak berusia enam tahun serta golongan lima tahun yang memenuhi syarat ditetapkan. – UTUSAN









