PERIKATAN Nasional (PN) kini berdepan fasa paling mencabar dalam sejarah penubuhannya apabila isu berkaitan pemilikan jenama, penggunaan logo serta hala tuju gabungan itu mula menjadi pertikaian terbuka antara dua parti terasnya iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Perkara ini berlaku selepas Pas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu yang terjalin sejak penubuhan PN kira-kira enam tahun lalu.
Pada awalnya dilihat sebagai isu teknikal berkaitan strategi pilihan raya, kini berkembang menjadi perdebatan yang lebih besar dan kompleks melibatkan soal hak, persepsi serta pengaruh dalam struktur gabungan politik berkenaan.
Istilah ‘harta sepencarian’ politik digunakan secara sinis bagi menggambarkan perebutan simbol, naratif serta legasi politik yang dikaitkan dengan PN sebagai sebuah gabungan yang mahu membentuk kerajaan.
Isu logo dan bendera PN hari ini menggambarkan pertikaian dalam gabungan itu bukan lagi sekadar perbezaan pandangan politik, tetapi sudah menyentuh soal pemilikan, pengaruh dan legasi.
Masing-masing mula menuntut hak terhadap simbol yang dibina bersama, ia memberi gambaran hubungan dalam PN sedang berada pada fasa yang amat mencabar.
Bersatu mendakwa logo dan bendera PN adalah hasil idea serta usaha mereka ketika gabungan itu dibentuk, manakala Pas pula berpendapat kekuatan sebenar PN terletak pada jentera dan akar umbi parti itu yang menjadi tulang belakang kepada gerak kerja gabungan berkenaan.
Bersatu turut menuntut agar jawatan Pengerusi PN dikembalikan kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memegang jawatan itu sebelum ini.
Keadaan ini seolah-olah menyaksikan kedua-dua pihak menuntut hak ke atas harta yang dibina bersama sepanjang tempoh kerjasama mereka.
Lebih parah, PN berpotensi dibubarkan jika tiada keputusan daripada Majlis Presiden berhubung penggunaan logo PN yang menjadi perebutan antara Pas dan Bersatu sekiranya perebutan ini terus sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Berdasarkan fasal 7A.4 perlembagaan PN secara jelas menyatakan ‘keputusan Majlis Presiden hendaklah diputuskan secara konsensus’, yang bermakna semua presiden parti komponen PN perlu bersetuju dengan sesuatu keputusan, malah keputusan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan undi majoriti.
Jika keputusan dibuat tanpa memenuhi syarat konsensus tersebut, tindakan berkenaan boleh dianggap bercanggah dengan perlembagaan PN yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Malah, keadaan akan menjadi kritikal jika logo itu tidak boleh digunakan dalam berdepan pilihan raya termasuk paling hampir ketika ini, PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, konflik yang tercetus susulan keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu telah meletakkan masa hadapan PN dalam keadaan tidak menentu.
Menurut beliau, pertelingkahan yang berlarutan berpotensi menjejaskan keyakinan pengundi terhadap PN kerana gabungan itu akan dilihat gagal menampilkan kestabilan, disiplin serta hala tuju politik yang jelas.
“Konflik sebenar kini bukan sahaja tentang siapa meninggalkan siapa tetapi siapa yang berhak menguasai PN selepas perpecahan tersebut.
“Sekiranya pertelingkahan berterusan, keyakinan pengundi terhadap PN akan terhakis kerana gabungan itu akan dilihat tidak mempunyai kestabilan, disiplin dan hala tuju yang jelas.
“Keadaan ini mungkin tidak menjejaskan penyokong tegar Pas, namun boleh memberi kesan kepada pengundi atas pagar, golongan muda dan pengundi pragmatik yang mengutamakan kestabilan politik.
“Dalam pilihan raya, hilangnya hanya lima hingga 10 peratus pengundi atas pagar sudah cukup untuk mengubah keputusan di kerusi marginal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Awang Azman berkata, jika perpecahan berlaku, Bersatu dijangka menanggung kerugian politik yang lebih besar memandangkan parti itu banyak bergantung kepada kekuatan jenama PN, sokongan pengundi Pas serta jentera akar umbi yang dimiliki parti berkenaan.
Kata beliau, Pas pula mempunyai kelebihan dari segi organisasi, jentera pilihan raya, rangkaian cawangan dan penguasaan kerajaan negeri yang membolehkannya kekal berpengaruh meskipun tanpa Bersatu.
“Namun Pas juga tidak boleh memandang ringan risiko yang bakal dihadapi kerana parti itu masih memerlukan rakan strategik untuk menembusi negeri-negeri seperti Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta kawasan di Sabah dan Sarawak.
“Pas turut berisiko kehilangan akses kepada kelompok pengundi Melayu sederhana, profesional dan nasionalis yang selama ini lebih selesa memilih PN melalui wajah Bersatu.
“Menjadi parti terbesar dalam blok politik tidak semestinya membawa Pas lebih hampir untuk membentuk kerajaan Persekutuan tanpa sokongan rakan gabungan yang sesuai,” ujarnya.
Mengulas mengenai kedudukan PN, Awang Azman berkata, terdapat tiga kemungkinan yang boleh berlaku sekiranya hubungan Pas dan Bersatu gagal dipulihkan.
Beliau berkata, senario pertama ialah PN terus dikuasai Pas dengan Bersatu keluar atau disingkirkan daripada gabungan tersebut dan kedua pula menyaksikan Bersatu mempertahankan struktur dan jenama PN manakala Pas membentuk gabungan baharu.
“Senario ketiga adalah kedua-dua pihak terus berebut pengaruh sehingga PN menjadi sebuah gabungan yang lumpuh dan gagal berfungsi secara efektif sebagai blok pembangkang,” katanya.
Tambah Awang Azman, PN boleh bertahan secara formal tetapi sukar menjadi gabungan yang kukuh tanpa salah satu daripada kedua-duanya.
“Tanpa Pas, PN kehilangan akar umbi, jentera pilihan raya, kubu negeri dan sebahagian besar pengundi Melayu konservatif.
“Tanpa Bersatu, PN kehilangan salah satu wajah nasionalis Melayu yang lebih sederhana, pengalaman kerajaan Persekutuan serta sebahagian jaringan elit dan pengundi yang tidak mahu mengundi Pas secara langsung.
“Namun kesannya tidak seimbang. PN tanpa Bersatu mungkin masih mempunyai kekuatan pilihan raya melalui Pas. Sebaliknya, PN tanpa Pas berisiko menjadi gabungan yang mempunyai jenama tetapi tidak mempunyai enjin pilihan raya yang mencukupi,” katanya. –UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










