BAITULMUQADDIS: Seorang bekas perdana menteri Israel mendedahkan rejim itu menyeludup peranti penerima internet Starlink ke Iran bagi membantu penunjuk perasaan anti-kerajaan, namun beliau mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu gagal meneruskan pelan berkenaan.
Naftali Bennett yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2021 hingga 2022 memberitahu hadirin di Sidang Kemuncak Dasar Antarabangsa JNS di Baitulmuqaddis bahawa beliau telah memulakan proses memperoleh dan menyeludup berpuluh-puluh ribu peranti penerima Starlink ke Iran bagi membolehkan kelangsungan akses internet dan rangkaian media sosial.
Starlink, yang dimiliki oleh syarikat SpaceX milik Elon Musk menyediakan sambungan internet satelit. Starlink tidak mempunyai lesen untuk beroperasi di Iran, namun Musk sebelum ini menyatakan perkhidmatan tersebut aktif di sana.
Iran sebelum ini pernah menuduh Israel dan Amerika Syarikat (AS) menyeludup peranti tersebut ke dalam negaranya demi menjejaskan keselamatan negara.
Menurut Bennett, peranti-peranti berkenaan bertujuan untuk membolehkan penunjuk perasaan menyelaras tindakan mereka dan akhirnya menjatuhkan kerajaan Iran.
“Malangnya, kerajaan Israel sekarang yang tidak cekap telah menghentikan usaha itu. Dan apabila protes berlaku, infrastruktur tersebut tiada di sana,” katanya.
Pejabat Netanyahu tidak memberikan maklum balas segera berhubung kenyataan Bennett, manakala pihak SpaceX tidak dapat dihubungi untuk ulasan di luar waktu perniagaan AS.
Pihak berkuasa Iran sebelum ini telah menyekat akses orang awam kepada internet semasa tempoh pergolakan termasuk ketika protes maut di seluruh negara pada Januari serta sepanjang tempoh perang antara AS dan Israel dengan Iran yang bermula pada akhir Februari lalu.
Reuters sebelum ini melaporkan sebahagian rakyat Iran beralih kepada penggunaan Starlink ketika berlaku gangguan dan sekatan internet.
Bennett merupakan pemimpin sebuah parti berhaluan kanan dan salah seorang daripada beberapa ahli politik pembangkang yang bersaing untuk menggantikan Netanyahu dalam pilihan raya yang dijadualkan menjelang Oktober ini.










