YALA (THAILAND): Polis Thailand mematahkan cubaan menyeludup 11.2 kilogram (kg) pil kuda selepas menahan seorang lelaki dipercayai keldai dadah dalam sekatan jalan raya di Mukim Tanoh Puteh, Daerah Bannang Sata, di sini semalam.
Dalam operasi pukul 9.30 pagi itu, polis turut merampas sepucuk pistol dan tujuh butir peluru.
Penguasa Balai Polis Bannang Sata, Kolonel Atthapol Kulwongmanas berkata, bertindak atas maklumat risikan anggota bertugas telah menahan sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Katanya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas kereta tersebut membawa kepada penemuan beberapa bungkusan plastik berisi lebih 11.2 kilogram pil kuda bernilai RM353,000.
“Siasatan lanjut mendedahkan bahawa dadah berkenaan sedang dalam perjalanan untuk dihantar ke Daerah Betong yang bersempadan dengan negara jiran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Atthapol memberitahu, lelaki terbabit mengaku menerima upah sebanyak RM1,385 untuk membawa dadah berkenaan dari bandar Yala ke Betong.
Katanya, dadah berkenaan kemudian diserahkan kepada sindiket penyeludupan rentas sempadan. – UTUSAN










